Sabtu, 2 Julai 2011

Terengganu Masih Berpeluang Juarai Liga Super 2011 - Irfan Bakti

View Image
KUALA TERENGGANU, (Bernama) -- Peluang Terengganu untuk menjuarai saingan Liga Super 2011 masih terbuka, kata ketua jurulatih pasukan itu Irfan Bakti Abu Salim.

Beliau berkata ini berdasarkan rekod pertemuan dua pasukan teratas iaitu Kelantan dan Selangor dengan lawan masing-masing kurang memberangsangkan.

Katanya, perlawanan terakhir pada 6 Julai ini menyaksikan tiga pasukan teratas liga termasuk Terengganu, akan bertandang ke tempat lawan.

"Harus diingat Kelantan akan bertandang ke Sabah, yang mana bukan senang untuk kalahkan tuan rumah itu, dan kalau kita lihat, hanya tiga pasukan yang berjaya mencipta kemenangan ketika bermain di Sabah pada musim ini, iaitu Terengganu, Selangor dan Johor FC.

"Justeru, saya melihat Terengganu masih mempunyai peluang untuk bergelar juara Liga Super, dan kita akan memanfaatkan sepenuhnya peluang tanpa mengira apa jua keputusan yang diperoleh lawan nanti," katanya ketika ditemui pada sesi latihan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah pada Khamis.

Mengenai barisan pemain yang bakal diturunkan pada perlawanan itu, Irfan Bakti berkata beliau memilih menurunkan skuad utama ketika menentang Kelantan pada perlawanan akhir Piala FA awal Jun lepas.

"Alhamdulillah, kesemua pemain utama kita dapat diturunkan, dan sudah tentu mempunyai harapan yang tinggi untuk dinobatkan juara Liga Malaysia selepas berjaya menjulang Piala FA 11 Jun lalu," katanya.

Beliau juga enggan mengulas persiapan untuk saingan Piala Malaysia yang dijadual selepas Hari Raya Puasa kerana ingin memberi tumpuan terhadap perlawanan terakhir menentang Felda United Rabu depan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...