Jumaat, 28 Oktober 2011

Penyu tak rela nangis!

pix_gal0

"DOAKAN kejayaan kami, kami turun dengan satu tekad iaitu membawa pulang Piala Malaysia untuk kali kedua ke bumi Terengganu," itu kata-kata penuh semangat penjaga gawang skuad penyu, Sharbinee Allawee.

Sedar tugas penuh berliku untuk mengawal pintu gawang daripada dibolosi, bekas penjaga gol kebangsaan ini mengharapkan barisan pertahanan dikemudi ketua pasukan, Marzuki Yusof mampu mengekang asakan penyerang lawan terutamanya Hairuddin Omar.

Kebimbangan paling digeruni pemain di benteng terakhir ini ialah tandukan berbisa Hairuddin dan tendangan kencang serta mengelirukan ketua pasukan skuad Hobin Jang Hobin, Muhamad Shukor Adan.
"Jika rakan di barisan pertahanan dan tengah mampu mengekang asakan dan serangan Negeri Sembilan, tugas mengawal gawang dari dibolosi akan menjadi lebih mudah.

"Saya berkeyakinan kesebelasan yang akan diturunkan esok mampu menggalas tugas seperti direncanakan jurulatih, Irfan Bakti Abu Salim," kata Sharbinee ketika ditemui di Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) petang semalam sebelum berlepas ke ibu kota. Semua pemain bersemangat melangkah ke bilik menunggu sebelum menaiki pesawat sambil bersalaman dengan Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Rozi Mamat.

"Biarpun senarai kesebelasan belum diumumkan, semua rakan sepasukan sudah mencapai kata sepakat iaitu turun dengan tekad merealisasikan impian rakyat dan kerajaan Terengganu untuk memburu kejuaraan kedua selepas mengungguli Piala FA musim ini," katanya.

Irfan Bakti pula menyatakan senarai kesebelasan yang akan diturunkan esok hanya diketahui setengah jam sebelum wisel sepak mula dibunyikan. 
"Banyak lagi ujian terpaksa ditempuhi pemain. Kita tahu semua pemain mahu bermain pada perlawanan akhir tetapi ini adalah pertarungan hidup mati. Hanya pemain terbaik akan disenaraikan, semua pemain masih mempunyai peluang," katanya. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...