Khamis, 21 Ogos 2014

Wabak denggi di Terengganu membimbangkan


KUALA TERENGGANU - Wabak denggi di Terengganu kini semakin meningkat dan membimbangkan dengan tujuh lokaliti dikenal pasti sebagai berwabak, kata Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Datuk Dr Anwa Sulaiman.
    
Beliau berkata peningkatan mendadak wabak denggi berlaku hampir di semua daerah terutamanya di Kuala Terengganu, Besut, Dungun, Marang dan Hulu Terengganu.
    
Kawasan berwabak setakat ini, ialah tiga di Kuala Terengganu, tiga di Besut dan satu di Dungun, katanya selepas majlis sambutan pelancaran pengibaran Jalur Gemilang sempena sambutan kemerdekaan peringkat Jabatan Kesihatan negeri di sini hari ini.

Sehingga 16 Ogos lalu, sebanyak 636 kes demam denggi dilaporkan di seluruh Terengganu iaitu 583 kes denggi biasa dan 53 denggi berdarah.

"Ini adalah peningkatan yang sangat ketara jika dibandingkan hanya 214 kes dalam tempoh yang sama tahun lepas dan tanpa kes kematian," katanya.

Menurut Anwa, setakat ini seorang suri rumah berumur 30-an telah meninggal dunia akibat wabak denggi di Terengganu.
    
Justeru, Anwa berharap masyarakat dapat mengambil tindakan lebih agresif untuk menghapuskan tempat pembiakan nyamuk Aedes bagi membendung situasi wabak denggi yang semakin membimbangkan.


"Pihak jabatan sangat memerlukan kerjasama orang ramai untuk memusnahkan tempat pembiakaan nyamuk Aedes seperti membersih bekas yang boleh menakung air," katanya. - Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...