Jumaat, 24 Oktober 2014

Guru sekolah rendah ditahan kerana terlibat penyalahgunaan dadah


DUNGUN – Seorang guru sekolah rendah ditahan kerana disyaki terlibat penyalahgunaan dadah dalam satu serbuan di sebuah rumah teres satu tingkat, dekat sini, petang kelmarin.

Rahsia penglibatan kakitangan awam itu terbongkar selepas risikan polis mengesan sebuah rumah yang dijadikan tempat melepaskan gian kerana sering dikunjungi individu mencurigakan, disyaki penagih.

Guru terbabit dikatakan bijak menyembunyikan perbuatan tidak bermoral itu sebelum segalanya terbongkar dalam serbuan dilakukan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah diketuai Sub Inspektor Ismail Omar, kira-kira jam 4.30 petang kelmarin.

Sebaik menyedari kehadiran polis, sekumpulan penagih termasuk guru terbabit yang berada di dalam rumah berkenaan, dikatakan enggan membuka pintu menyebabkan polis terpaksa mengumpil dan memecahkan pintu utama untuk melakukan pemeriksaan.

Sebuah bilik rumah teres difahamkan milik bapa guru terbabit yang juga pemimpin NGO itu dipercayai dijadikan tempat melepaskan gian berikutan penemuan beberapa peralatan untuk mengambil dadah.

Bagaimanapun, guru terbabit yang difahamkan anak seorang tokoh politik (Sumber) dikenali di Dungun, menafikan dia terlibat penyalahgunaan dadah sehinggalah ujian saringan air kencing mendapati dia positif syabu.

Guru lelaki berusia awal 30-an dan dikatakan masih bujang itu juga dipercayai sudah lama terlibat penyalahgunaan dadah tanpa pengetahuan bapanya.

Selain guru terbabit, tiga lagi rakannya turut diberkas selepas didapati positif dadah, termasuk seorang pengedar berusia 34 tahun yang menjadi buruan polis sejak beberapa bulan lalu.

Dalam serbuan itu, suspek disyaki memiliki dadah selepas penemuan lapan paket dipercayai syabu dalam poket seluarnya dengan nilai anggaran RM1,600, dan disiasat mengikut Seksyen 12(2) serta ditahan reman sehingga 23 Oktober ini.

Sementara itu, guru terbabit bersama dua lagi rakannya yang difahamkan bekerja sebagai pemandu lori dan pekerja badan berkanun pula, dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dungun untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.


Mereka dilepaskan dengan jaminan polis sehingga laporan kimia diterima untuk mengesahkan status urin.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...