Sabtu, 19 Mac 2011

Nicol, Mohd Azlan Layak Ke Separuh Akhir

KUALA LUMPUR, 18 Mac (Bernama) -- Ratu skuasy negara Datuk Nicol Ann David dan Mohd Azlan Iskandar masing-masing berjaya menempah tempat ke separuh akhir Kejohanan Terbuka Kuala Lumpur 2011 di sini.

Pada saingan suku akhir, Nicol, pemain nombor satu dunia, menewaskan pemain Australia Kasey Brown 11-5, 11-4, 6-11 dan 11-5 untuk berdepan dengan pemain England, Alison Waters, pada separuh akhir Sabtu.

Hasrat Nicol untuk memburu gelaran ketujuh pada kejohanan itu semakin hampir apabila menundukkan Kasey pada perlawanan selama 41 minit di gelanggang kaca di Berjaya Times Square di sini.

"Saya selesa di kaca gelanggang dan semuanya berlancar walaupun tahu Brown bukan pemain sebarangan," kata Nicol, yang akan mengulangi pertemuan dengan Waters pada separuh akhir pada edisi tahun lepas.

Terdahulu itu, Waters, pemain pilihan ketiga, terpaksa berkerja keras selama 65 minit sebelum mengatasi pemain Australia, Rachael Grinham, 12-10, 12-10, 8-11, 5-11 dan 13-11.

"Perlawanan itu sengit apabila kedudukan terikat 2-2 dan kemenangan boleh memihak sesiapa sahaja," katanya yang akan menyambut ulang tahun kelahirannya ke-27 Sabtu.

Sementara itu, Mohd Azlan mengambil masa 43 minit untuk menewaskan pemain Pakistan Aamir Atlas Khan dengan keputusan 14-12, 11-6 dan 11-2.

"Saya memulakan perlawanan dengan agak perlahan tetapi kemudian momentum saya meningkat. Harap saya boleh kekalkan momentum untuk perlawanan esok," kata Mohd Azlan yang akan berdepan dengan Mohamed El Shorbagy pada separuh akhir.

Shorbagy, pemain Mesir yang menduduki ranking kesembilan dunia, pula menyingkirkan pemain negara Mohd Nafiizwan Adnan 11-9, 12-10 dan 11-7 dalam masa 45 minit.

-- BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...