Ahad, 17 April 2011

Rakyat Sarawak Kekalkan Mandat Kepada BN Untuk Terus Memerintah


KUCHING, 17 April (Bernama) -- Barisan Nasional (BN) mendapat mandat untuk terus memerintah Sarawak selepas mencatatkan kemenangan dengan memperoleh majoriti lebih dua pertiga dalam pertandingan yang paling sengit dalam sejarah negeri ini.

BN memenangi pilihan raya negeri ke-10 dengan memperoleh 55 daripada 71 kerusi, kurang tujuh kerusi daripada yang dimenangi gagasan pemerintah pada 2006, namun telah meleburkan harapan pembangkang yang berjuang habis-habisan untuk menafikan kemenangan majoriti dua kepada BN, malah mengimpikan untuk membentuk sebuah kerajaan baru.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak merakamkan penghargaan kepada rakyat Sarawak kerana terus meletakkan sepenuh kepercayaan kepada BN selaku parti yang memerintah.
Sambil mengucapkan terima kasih kepada BN negeri menerusi telepersidangan dari Kuala Lumpur, Najib berkata BN pusat akan melakukan post mortem terhadap keputusan pilihan raya negeri Sarawak bagi pilihan raya umum akan datang.

Bagaimanapun BN mengalami kejutan paling besar apabila parti komponennya berasaskan kaum Cina, Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), sekali lagi menerima tamparan hebat, termasuk kekalahan Presidennya Tan Sri Dr George Chan untuk mempertahankan kerusi DUN Piasau di Miri di tangan seorang calon muka baru daripada DAP.

Tunjang BN negeri, Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), yang diketuai oleh Tan Sri Abdul Taib Mahmud, mengulangi kejayaan cemerlang parti itu dengan menyapu bersih 35 kerusi yang ditandinginya, Parti Rakyat Sarawak (PRS) menang lapan daripada sembilan kerusi manakala Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) pula meraih enam daripada lapan kerusi.

SUPP sekadar memenangi enam daripada 19 kerusi, hanya separuh daripada jumlah yang dimenangi parti itu pada tahun 2006, sekali lagi kalah kepada DAP di kesemua 12 kawasan majoriti Cina, membolehkan pembangkang menggandakan kemenangan yang diraih mereka pada 2006.

Parti Keadilan Rakyat (PKR), sudah pun menamakan bakal Ketua Menteri daripada parti itu beberapa hari selepas penamaan calon, namun hanya tiga daripada 49 calonnya sahaja yang menang.

Ironinya, George ak Lagong, yang dipecat daripada PKR enam hari lepas setelah bertanding atas tiket Bebas, merupakan pemenang tunggal dalam kalangan 41 calon bebas.

Beliau menang di DUN Pelagus, kerusi yang sebelum ini disandang oleh seorang Pembantu Menteri negeri, Larry Sng. PAS, sebuah lagi parti dalam barisan pembangkang yang berpusat di Semenanjung, tumbang dalam kesemua kerusi yang ditandinginya.

Turut pulang dengan tangan kosong ialah Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP) yang membariskan 26 calon dan Parti Cinta Malaysia (PCM) yang mempertaruhkan enam calon.

Taib, yang mengangkat sumpah memegang jawatan sejurus selepas BN mengesahkan kemenangan majoriti dua pertiganya, mempertahankan kerusi DUN Balingian setelah memperoleh 6,210 dengan mengalahkan calon bebas yang juga dua pupunya, Datuk Salleh Jafaruddin yang mendapat 1,056 undi dan Suriati Abdullah daripada PKR dengan 871 undi.

Ketua Menteri sebelum ini mengumumkan bahawa pilihan raya ini merupakan yang terakhir baginya dan beliau akan melepaskan jawatan dalam tempoh dua tahun.

Sementara itu, Dr Chan kelihatan tergamam apabila keputusan kerusi DUN Piasau diumumkan, dan persoalan utama sekarang selain daripada masa depan SUPP ialah sama ada parti itu masih akan dapat menyandang satu daripada dua jawatan Timbalan Ketua Menteri selepas ini.

Beberapa calon SUPP yang menang, termasuk Datuk Sri Wong Soon Koh, yang juga Menteri Alam Sekitar Negeri, dan Datuk Lee Kim Shin, iaitu Menteri Muda Pembangunan Infrastruktur dan Komunikasi, sebelum pilihan raya negeri diadakan.

Kedua-dua ahli politik itu merupakan calon yang berjaya mengekalkan kerusi masing-masing iaitu DUN Bawang Assan dan Senadin.

Lee mengekalkan DUN Senadin dengan kemenangan tipis hanya 54 undi dalam pilihan raya itu.

Presiden PRS Datuk Seri Dr James Masing mengetuai parti itu untuk memenangi lapan daripada sembilan kerusi, dengan hanya kalah kepada calon Bebas bagi kerusi DUN Pelagus, George Lagong.

SPDP, yang diketuai oleh Presidennya Datuk Seri William Mawan, menang enam dan kalah dua kerusi, setelah DUN Ba'Kelalan dan Batu Lintang beralih tangan kepada PKR.

Ba'Kelalan dimenangi oleh Pengerusi PKR Negeri Baru Bian dalam pertandingan satu lawan satu menentang anak saudaranya, Willie Liau daripada BN. Baru, yang dinamakan oleh PKR sebagai bakal Ketua Menteri menang dengan majoriti 473 undi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...