Jumaat, 26 Ogos 2011

Zakry, Fairuzizuan sukar diganti


Image Detail

KEPUTUSAN Mohd Zakry Abdul Latif dan Mohd Fairuzizuan Mohd Tazari keluar dari Persatuan Badminton Malaysia (BAM) diakui akan menjejaskan latihan skuad beregu negara kerana kedua-dua pemain itu masih berupaya menjadi rakan sparring yang baik.

Ketua jurulatih beregu negara, Rexy Mainaky berkata bagaimanapun dia perlu menghormati keputusan mereka dan akan berbincang dengan penolongnya, Rosman Razak serta BAM bagi mengatasi masalah ketiadaan kedua-dua pemain itu sekembali dari bercuti, esok. 
“Memang sayang sekali Zakry dan Fairuzizuan keluar dari BAM kerana untuk sparring kedua-duanya masih cukup baik, tetapi mereka sudah memutuskan untuk keluar dari BAM. Jadi, saya perlu menghormatinya,” katanya semalam. Rexy mengakui ada terdengar desas desus kedua-dua pemain itu mahu keluar dari BAM dan kurang mengambil peduli kerana pada masa itu tidak menganggapnya terlalu serius.

“Namun, saya ada bersemuka dan memberi pandangan saya kepada mereka. Nampaknya, mereka nekad dengan keputusan mereka. Mungkin faktor usia yang hampir mencecah usia 30 tahun menyebabkan mereka mengambil keputusan itu. Lagipun, mereka mungkin sukar untuk bersaing dengan pemain lebih muda,” katanya.

Mesyuarat Majlis BAM Sabtu lalu yang dipengerusikan Presiden, Datuk Seri Mohd Nadzmi Salleh meluluskan permohonan kedua-dua pemain itu keluar dari BAM tanpa mengenakan sebarang syarat selepas mengambil kira sumbangan mereka kepada negara.

Pengumuman mengejutkan itu dibuat ketika proses kelayakan Sukan Olimpik 2012 sedang berlangsung, sekali gus meninggalkan BAM tanpa beregu kedua atau ketiga yang mantap dan meninggalkan tugas mencari tiket Sukan Olimpik 2012 kini dipikul sepenuhnya pasangan utama, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...