Sabtu, 14 April 2012

Annuar: Tuduhan dan hukuman 'tak selari'


 Tan Sri Annuar Musa
TIMBALAN Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tan Sri Annuar Musa, yang dihukum  digantung 30 bulan, mendakwa hukuman yang dikenakan ke atas beliau tidak selari dengan pertuduhan yang dibawa ke atas beliau.
Beliau dihukum gantung selama 30 bulan berkuat kuasa 4 April lalu dan tidak dibenarkan membuat rayuan.
Dalam tulisannya pada laman sosial Facebook, Annuar yang juga bekas anggota Kabinet berkata, beliau telah melantik peguam bagi membantu dalam menyelesaikan kesnya memandangkan wujud "kekeliruan" dan "kesamaran" berhubung sifat tuduhan dan hukuman yang diputuskan.
"Saya melantik peguam adalah bertujuan untuk menasihati dan mendalami kes yang telah berlaku sekarang serta mengambil langkah-langkah yang perlu dan sesuai di sisi undang-undang.
"Saya akan meneliti dari semua sudut agar kemelut yang dihadapi sekarang akan berakhir dan sekali gus membawa kebaikan ke arah tranformasi pentadbiran bola sepak negara," kata Annuar lagi.
Dalam satu kenyataan di Kota Bharu semalam,  Annuar akan menggunakan beberapa saluran untuk membuat rayuan termasuk membawa kesnya ke Mahkamah Timbang Tara Sukan.
Annuar mahu mengambil tindakan itu selepas dinafikan hak untuk membuat rayuan berhubung penggantungan beliau daripada terlibat sebarang aktiviti bola sepak selama dua setengah tahun.
Katanya, langkah itu diambil sebagai tindakan susulan bagi membolehkan beliau mengemukakan rayuan.
Menulis lanjut, Annuar berharap pelantikan firma guaman akan menyelesaikan isu kekeliruan yang wujud, di mana hukuman yang diputuskan ke atasnya berbeza daripada yang dinyatakan dalam surat pertuduhan.
"Saya tidak dihukum di bawah perkara 6.2.2 seperti dinyata dalam surat pertuduhan, sebaliknya dihukum mengikut Jadual I iaitu Perkara 18.3 dan 18.5 yang lazimnya untuk pemain dan pegawai pasukan.
"Dalam Perkara 6.2.2, hukuman maksimum hanyalah denda RM50,000 manakala Perkara 18.3 dan 18.5 pula berbunyi digantung dari menyertai sebarang aktiviti bola sepak tidak kira peringkat kebangsaan mahupun negeri.
"Jadi, jelaslah saya bukan digantung atau dilucut jawatan tetapi digantung daripada melakukan aktiviti," kata Annuar lagi.
Annuar yang mengakui ada wujud kesamaran dalam hukuman tersebut akan mempertikaikan hukuman itu kerana Jadual I hanya digubal untuk pemain dan pegawai pasukan, dan bukannya untuk Exco FAM.
"Ini antara perkara yang perlu diperkemaskan, dan saya reda menjadi bahan ujian proses dan aplikasi perundangann oleh FAM," kata Annuar.
Annuar turut berkata, peguam Kamaruddin Abdullah, yang juga bekas Pengerusi Jawatakuasa Tatateretib FAM adalah antara tokoh guaman paling berautoriti dalam peraturan di bidang bola sepak.
Annuar digantung 30 bulan setelah Jawatankuasa Tatatertib mendapati beliau bersalah membuat kenyataan akhbar berbaur negatif mengenai skuad bola sepak negara.
Mengikut peraturan FAM, hanya Presiden dan Setiausaha Agung boleh memberi komen berkenaan skuad kebangsaan.
Annuar juga dituduh melanggar titah Timbalan Presiden FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah semasa mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM pada 4 Februari lepas iaitu hal-hal FAM tidak wajar disebar kepada media dan sepatutnya dibawa berbincang dengan jawatankuasa yang berkenaan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...