Selasa, 10 April 2012

Terengganu tersungkur, Tempines Rovers bawa kemenangan pertama AFC

Pasukan Terengganu sekali lagi tersungkur apabila gagal memanfaat kelebihan beraksi dilaman sendiri selepas tewas kepada Tempines Rovers, 0-2 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, sebentar tadi.


Faktor keletihan jelas menjadi isu serius yang dihadapi pasukan tuan rumah setelah juara bertahan Piala FA itu dikejutkan apabila dibelasah Selangor, 1-6, pada aksi Liga Super Sabtu lalu, di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).



Babak pertama perlawanan menyaksikan kedua-dua pasukan melancarkan serangan bagi memburu gol , namun peluang yang terhidang bagi pasukan tuan rumah untuk mendahului kedudukan gagal disempurnakan penyerang import berbisa, Francis Forkey Doe apabila rembatan kencangnya di dalam kotak penalti berjaya di tampan penjaga gol pelawat, Sasa Dreven minit ke-17.



Pun begitu, pasukan pelawat yang sesekali melancarkan serangan berjaya membolosi benteng pertahanan Terengganu dan peluang meledakkan gol pertama mereka pada minit ke-24 dipersia-siakan kapten pasukan, Aleksandar Duric setelah sepakannya tersasar melepasi gawang gol .



Forkey Doe sekali lagi gagal memanfaatkan peluang meledakkan gol pada minit ke-32 perlawanan apabila tendangan derasnya sekadar melepasi gawang gol pasukan pelawat.



Kebuntuan pasukan Tempines Rovers dalam mencari gol pertama berhasil setelah kapten pasukan, Aleksandar Duric berjaya menyempurnakan hantaran lintang yang dilakukan Ahmad Latiff Khamarudin pada minit ke-37.



Gol pertama itu nyata mengembalikan semangat skuad kendalian, Steven Tan untuk mengukuhkan kedudukan pada minit ke-40, namun peluang menambah jaringan gagal disudahkan dengan sempurna penyerangnya, Ahmed Fahmie Jamil.



Masuk babak kedua perlawanan, kedua-dua pasukan mula mempamerkan corak permainan yang lebih agresif dalam memburu gol.



Terengganu yang tampil dengan gaya permainan yang lebih kemas bagaimanapun masih gagal menghasilkan gol biarpun mempunyai peluang keemasan dihadapan gol pelawat apabila sepakan Joseph Kalang Tie sedikit tersasar pada minit ke-51.



Keghairahan tuan rumah mengatur serangan akhirnya dihukumsekali lagi oleh kapten pasukan pelawat, Aleksandar Duric pada minit ke-90 untuk gol kedua Tempines Rovers sekaligus membolehkan kelab dari Singapura itu membawa pulang kemenangan pertama selepas empat perlawanan dari Kuala Terengganu.



Tempines Rovers kini kembali bernafas dan mempunyai peluang cerah ke pusingan kedua selepas mengalami dua kekalahan dan seri dalam tiga perlawanan yang dilalui sebelum ini dengan kutipan empat mata.



Bagaimanapun, pasukan Terengganu masih kekal di tangga kedua Kumpulan F dengan enam mata selepas empat perlawanan.



Pertemuan sengit antara dua juara liga di kedua-dua negara sepanjang 90 minit perlawanan petang semalam, menyaksikan dua kad kuning dilayankan pengadil dari Tukrmenistan, Kurbanov Charymurat masing-masing kepada Terengganu (Joseph Kalang Tie) dan Tempines Rovers (Mustafic Fahrudin) pada minit ke-27.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...