Ahad, 8 September 2013

Umat Islam Mula Membanjiri Madinah.



MADINAH, 8 Sept (Bernama) -- Ratusan ribu umat Islam kini mula membanjiri kota Madinah sebagai tempat persinggahan awal sebelum ke Makkah untuk menunaikan ibadah haji dan umrah musim ini.

Jemaah yang tiba awal itu adalah mereka yang mengerjakan Haji Tamattuk iaitu menunaikan umrah terlebih dahulu dalam musim haji sebelum mengerjakan ibadah haji pada bulan hadapan.


Hari wukuf di Arafah dijadual pada 14 Okt iaitu hari bermulanya kerja ibadah rukun Islam yang kelima itu.

Tinjauan Bernama mendapati Masjid Nabawi, iaitu masjid terletaknya makam Nabi Muhammad SAW telah mula dipenuhi umat Islam dari seluruh pelusuk dunia.

Masjid terbesar di kota suci Madinah itu mampu menampung hampir sejuta jemaah pada satu-satu waktu solat dan setakat ini hampir 2,000 jemaah haji Malaysia adalah antara umat Islam yang tidak melepaskan peluang untuk menunaikan solat dalam masjid berkenaan.

Seorang jemaah Malaysia, Maskiron Maskon, 62, menyifatkan kemampuan beliau untuk menunaikan ibadah haji sebagai mimpi yang menjadi kenyataan.

Bekas pekerja swasta dari Seremban, Negeri Sembilan itu berkata beliau sangat bersyukur kerana hajatnya untuk menunaikan ibadah haji bersama isteri Fatimah Mohamad sejak 20 tahun lepas akhirnya menjadi kenyataan hari ini.

Usahanya mengumpul wang selama bertahun-tahun sejak muda dan ditambah dengan baki simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja membolehkan mereka berdua memijak kaki di tanah suci untuk menunaikan ibadah haji.

"Saya bersyukur dan perjalanan kami pula semuanya menjadi mudah kerana kecekapan Tabung Haji (TH) yang mengurus jemaah dari mula berkursus di Seremban sehinggalah urusan penerbangan, Kastam dan Imigresen di Lapangan Terbang di Madinah...semuanya menjadi mudah," kata beliau.

Kedua-dua zon pusat perkhidmatan haji TH yang menyediakan perkhidmatan kewangan, pusat kesihatan, kaunseling dan bimbingan agama juga telah beroperasi sepenuhnya mulai semalam.


Sebanyak 22,320 jemaah haji dari Malaysia menunaikan haji tahun ini dan ia berkurangan sebanyak 20 peratus berbanding tahun sebelumnya ekoran pengurangan kuota oleh kerajaan Arab Saudi sebagai langkah mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku ekoran kerja menaik taraf Masjidil Haram di Makkah.

Sementara itu, golongan peniaga di Madinah juga teruja dengan kehadiran jemaah haji Malaysia dan sering melaungkan kata-kata "Malaysia Bagus, Malaysia Boleh" untuk menarik perhatian jemaah dari tanah air.

Kebanyakan mereka boleh bertutur bahasa Melayu yang mudah dan menawarkan harga dengan menyebut angka dalam bahasa Melayu serta menarik perhatian pelanggan dengan berkata "jualan murah, harga rendah untuk rakyat Malaysia".

Seorang rakyat Afghanistan yang bekerja di sebuah butik pakaian, Abdul Aziz Ismail, 23, berkata: "Bila jemaah Malaysia datang? Berapa ramai?".

Malah lebih menarik ialah beliau telah memasang tanda iklan yang tertulis "Harga runtuh dan harga borong" dan kertas iklan itu juga dilekatkan Jalur Gemilang.

Seorang lagi peniaga Mohamad Sulaiman berkata beliau suka dengan rakyat Malaysia yang disifatkan mempunyai akhlak yang tinggi.

"Ramai pelanggan saya rakyat Malaysia, saya tahu berbahasa Melayu dan saya jual murah-murah untuk rakyat Malaysia," kata beliau.

Setiap kumpulan jemaah haji Malaysia akan berada di kota Madinah selama lapan hari sama ada sebelum bertolak ke Makkah ataupun selepas menunaikan haji mengikut giliran masing-masing yang ditetapkan oleh Tabung Haji.

-- BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...