Jumaat, 25 Mac 2011

Berbasikal: Malaysia Mahu Jadi Pelopor Asia Dalam Acara Sukan BMX

KUALA LUMPUR, 24 Mac (Bernama) -- Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) bakal menjadi pelopor kejohanan sukan berbasikal BMX di rantau Asia Tenggara dengan penganjuran kejohanan sirkit pertama di Air Keroh, Melaka, Ahad ini.

Presiden PKBM, Abu Samah Abd Wahab berkata usaha yang mendapat sokongan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) itu bukan hanya dapat mengembangkan sukan tersebut di negara ini malahan dapat meningkatkan nama Malaysia sebagai kuasa besar Asia dalam sukan lasak tersebut.
"Kita kini berada di landasan yang betul kerana acara yang dipertandingkan pada sirkit kejohanan itu nanti akan dipertandingkan pada temasya Sukan SEA di Indonesia pada November nanti," katanya dalam kenyataan di sini hari Khamis.

Abu Samah berkata sirkit kedua pula akan diadakan pada 10 April dan disusuli sirit akhir pada 1 Mei, kedua-duanya di Air Keroh.

Beliau berkata pihaknya akan menjadikan sirkit tersebut sebagai medan pencarian bakat untuk mengalas cabaran negara di Sukan SEA Indonesia dan Sukan BMX Asia 2011 di Jiangsu, China, pada Mei nanti.

Abu Samah sukan BMX yang dianggap permainan ekstrim masih dianggap acara kurang popular di Asia Tenggara sekalipun ia dipertandingkan di Sukan Olimpik.

"Kita percaya Kejohanan BMX Kebangsaan ini sangat bermakna kepada evolusi perkembangan sukan berbasikal negara ini.

"Sukan BMX umpama sebuah lombong emas yang belum diteroka di rantau Asia Tenggara. Di China, Korea Selatan dan Jepun, sukan BMX sangat popular kerana mereka tahu ia adalah acara dalam Sukan Olimpik," katanya.

Abu Samah berkata Malaysia harus mengorak langkah mengikuti jejak China, Korea Selatan dan Jepun dalam usaha memburu pingat emas Sukan Olimpik dalam acara itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...