Selasa, 22 Mac 2011

Jenazah Bonda Yang di-Pertuan Agong selamat disemadi


Jenazah bonda Yang di-Pertuan Agong, Yang Maha Mulia Tengku Ampuan Bariah al-Marhum Sultan Hisahmuddin Alam Shah al-Haj, selamat disemadikan di Makam Diraja Masjid al-Muktafibillah Shah, Ladang, petang ini, dengan penuh penghormatan diraja.

Turut berangkat memberi penghormatan terakhir ialah Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah serta kerabat-kerabat diraja.
Hadir sama, para pembesar negeri serta orang-orang kenamaan dan rakyat jelata daripada pelbagai lapisan masyarakat.


Mufti Negeri Dato’ Dr Haji Alias Abdullah membacakan talkin dan doa yang turut diaminkan oleh kaum kerabat diraja dan rakyat jelata.

Terdahulu, Tengku Puan Pahang Tunku Hajjah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, berangkat menziarahi Almarhumah yang ditempatkan di Istana Maziah, bagi memberi peluang kerabat diraja, orang kenamaan dan rakyat jelata memberi penghormatan terakhir.

Tuanku Mizan Zainal Abidin yang turut diiringi Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah serta dua anakanda, memasuki ruang Istana Maziah jam 2.05 petang untuk penghormatan terakhir.


Turut menziarahi jenazah Almarhumah ialah beberapa kerabat diraja Perak dan Kelantan serta Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi negeri, Dato’ Haji Mohamed Awang Tera bersama isteri To’ Puan Wan Zaharah Wan Yahya; Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Negeri, YB Haji Rozi Mamat dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan), Dato’ Wan Ahamad Wan Muda.

Rakyat jelata pelbagai bangsa yang dibenarkan masuk ruang Istana Maziah jam 2.15 kelihatan bersedih di atas kemangkatan Almarhumah yang sememangnya banyak berjasa kepada rakyat sepanjang hayatnya.

Moga-moga Allah mencucuri rahmat ke atas roh Almarhumah. Amin.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...