Selasa, 14 Jun 2011

Terengganu cuti umum Ahad


Menteri Besar, Dato’ Haji Ahmad Said mengumumkan Ahad ini (19 Jun) sebagai cuti umum bagi menghargai kejayaan pasukan Terengganu menjuarai Piala FA serta kontijen negeri ini menjuarai Sukan Malaysia (Sukma) XVI.

“Dengan kuasa yang ada pada saya sebagai Menteri Besar, dengan ini saya mengumumkan bahawa hari Ahad ini sebagai cuti umum bagi meraikan kejayaan atlet kita,” katanya sambil diiringi tepukan gemuruh lebih 7,000 orang yang membanjiri Dataran Shahbandar bagi meraikan skuad Terengganu dan atlet yang menyertai kejohanan Sukma dan muncul juara kali ketiga berturut-turut.

Menteri Besar yang begitu gembira dengan kejayaan berganda ahli sukan negeri ini, berkata kerajaan negeri amat berbangga dengan kejayaan mereka dan berharap lebih banyak kejayaan dicipta atlet di masa depan.

“Kerajaan negeri tidak pernah lokek untuk memberi pengiktirafan kepada mereka yang berjaya dalam segala bidang.

“Mereka yang berjaya akan diberi ganjaran yang setimpal dengan kejayaan yang telah mereka capai,” ujar beliau.

Sempena majlis yang dianjurkan kerajaan negeri bagi menghargai sumbangan pasukan bolasepak dan kontijen Sukma itu, beliau turut mengumumkan beberapa ganjaran yang lumayan kepada mereka yang telah berjaya mengharumkan nama negeri.

Beliau turut berharap rakyat negeri ini akan terus memberi sokongan kepada pemain bolasepak dan atlet negeri yang menyertai kejohanan pada masa depan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...