Sabtu, 18 Jun 2011

Terengganu Guna ICT Hantar Maklumat Antara Jabatan

View Image
BESUT, 17 Jun (Bernama) -- Terengganu akan menggunakan sepenuhnya kemudahan teknologi maklumat bagi menghantar dan menerima maklumat antara negeri, jabatan dan agensinya menjelang September ini.

Pengarah Unit Pengurusan Maklumat negeri Che Abd Rani Mohd berkata setiap perhubungan antara kerajaan negeri, jabatan serta agensinya akan menggunakan kemudahan e-mel, dan bukan lagi melalui surat biasa seperti amalan sebelum ini.
"Usaha ke arah itu kini sedang giat dijalankan, yang mana setakat ini, hampir 85 peratus daripada sistem pengurusan maklumat telah dinaik taraf bagi membolehkan surat atau dokumen dihantar dengan cepat dan tepat melalui e-mel," katanya kepada pemberita pada majlis Program BESCOMM Bersama Masyarakat anjuran Bestari.Com dari Unit Pengurusan Maklumat Kerajaan Negeri di Kuala Besut dekat sini Jumaat.

Beliau berkata bagaimanapun, pelaksanaan itu tidak melibatkan dokumen penting dan terhad, yang masih menggunakan pos biasa, dan program tersebut juga melibatkan penghantaran surat serta maklumat daripada kerajaan negeri kepada pusat.

Sementara itu, mengulas mengenai penggunaan Internet di kalangan penduduk Terengganu, Che Abd Rani berkata pelbagai usaha dilakukan kerajaan negeri untuk menarik 85 peratus penduduk mempelajari ICT.

"Di kalangan remaja, termasuk pelajar sekolah, penguasaan Internet adalah sebanyak 50 peratus, manakala di kalangan warga emas dan penduduk kampung sebanyak 35 peratus," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...