Khamis, 16 Jun 2011

Warga Singapura Didakwa Rasuah Lima Pemain Bola Sepak T-Team

View Image
SEREMBAN, 15 Jun (Bernama) -- Seorang lelaki warganegara Singapura dihadapkan di Mahkamah Sesyen di sini terhadap lima pertuduhan memberi rasuah bernilai RM23,000 kepada pemain bola sepak Piala Presiden T-Team bagi mengatur keputusan perlawanan dengan pasukan Negeri Sembilan pada Mei tahun lepas.

R K Rajendran, 51, didakwa memberi suapan berjumlah antara RM2,000 hingga RM7,000 kepada lima pemain skuad T-Team di sebuah rumah di Taman Bidara, Seremban pada 7 petang, Mei tahun lepas.

Bagaimanapun, Rajendran mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan memberi rasuah kepada Mohd Izwan Mat Ali sebanyak RM2,000, Mohd Nadzmeer Mohammad (RM4,000) Mohd Azuan Hussien (RM5,000), Muhammad Shariquddin Ibrahim (RM5,000) dan Mohd Hafiz Mohd Noor (RM7,000).

Dia didakwa mengikut Seksyen 16(b)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta yang sama, yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya SPRM Mohd Asri Abd Rahman Sidik dan Mohd Hanafi Abd Rahim, tertuduh pula diwakili peguam V Shanmugam.

Mohd Asri turut memohon supaya kes itu dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, Terengganu kerana Rajendran mempunyai kes yang sama di mahkamah negeri itu.

Hakim Datin Nursinah Adzmi mengarahkan tertuduh diikat jamin RM25,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan kes itu disebut semula di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu pada 30 Jun ini.

Ahli perniagaan itu turut didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam, Selangor pagi tadi atas pertuduhan yang sama iaitu didakwa mengatur perlawanan antara skuad T-Team dengan pasukan Selangor pada Mac tahun lepas.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...