Khamis, 24 Julai 2014

TERENGGANU JUARA BERMAIN MERCUN 2014 ???

Gambar hiasan
KUALA TERENGGANU, 23 Julai (Bernama) -- Ibu bapa diminta mengawasi anak-anak mereka agar tidak bermain mercun yang boleh mengakibatkan kecederaan kerana setakat ini 11 individu cedera kerana bermain dengan bahan larangan itu.

Pengarah Kesihatan Negeri Datuk Dr Anwa Sulaiman berkata mereka telah dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) akibat cedera di mata, melecur pada paha, muka dan dada selain patah tulang kaki, tulang betis dan jari tangan.

Mereka terdiri daripada empat lelaki dewasa dan tujuh kanak-kanak lelaki yang dimasukkan ke wad hospital berkenaan, katanya.

"Mangsa pertama yang kita terima pada malam pertama Ramadan (28 Jun) melibatkan seorang pelajar berusia 13 tahun dan ekoran daripada letupan berkenaan mangsa cedera akibat jari kelinking sebelah kiri putus dan menerima rawatan selama tiga hari di dalam wad," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Rabu.

Katanya tiga hari lepas (20 Julai), pihaknya menerima empat lelaki warga Indonesia dari Lombok berumur 23 hingga 40 tahun yang cedera parah selepas 100 biji mercun bola meletup dalam kejadian di kediaman mereka di Kampung Felda Jerangau, Dungun.

Anwa berkata sehingga kini terdapat seorang kanak-kanak berusia enam tahun dan tiga lelaki dewasa masih menerima rawatan susulan kecederaan kes bermain mercun.

Beliau berkata kesemua mereka berada dalam keadaan stabil dan dijangka dibenarkan pulang dalam masa terdekat ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...