Isnin, 8 Disember 2014

Persatuan radio amatur sedia bantu salur maklumat


GONG BADAK – Persatuan Radio Amatur Terengganu (PEMANCAR) bersedia untuk terus membantu pihak berkuasa dalam menyalurkan maklumat segera mengenai sebarang kemungkinan banjir menerusi rangkaian frekuensi mereka.

Timbalan presidennya, Mohd Hasmawi Hashim berkata, perhubungan menggunakan waklie talkie menerusi frekuensi radio yang membolehkan maklumat segera disalurkan mengenai pelbagai perkara ternyata telah banyak membantu sepanjang mengendalikan mangsa banjir yang terjejas teruk baru-baru ini.


“Ketika banjir teruk yang berlaku baru-baru ini, kita menerusi rakan amatur telah banyak memainkan peranan dengan menyalurkan maklumat kepada pusat seperti Majlis Keselamatan Negara (MKN), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) dan lain-lain mengenai apa sahaja perkembangan terkini mengenai banjir.

“Frekuensi kita boleh sampai ke semua daerah di negeri ini dan sekiranya berlaku lagi banjir gelombang kedua kita juga telah berada dalam keadaan bersiap sedia,” katanya.

Katanya, rangkaian frekuensi hanya dapat dihubungkan kepada rakan amatur yang mendaftar serta mempunyai lesen sahaja dan kebanyakan fokus ketika banjir adalah untuk menyalurkan maklumat segera mengenai kawasan yang dinaiki air dan jalan ditutup.


“Capaian frekuensi radio amatur ini juga boleh dihubungkan di kawasan yang tidak mempunyai liputan dan dapat bertahan seperti mana dalam kes remaja hilang berdekatan Hutan Lipur Sekayu, Hulu Terengganu bulan lalu,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...