Jumaat, 18 Julai 2014

Kemaman Dan Kuala Terengganu Berisiko Hadapi Gangguan Bekalan Air


KUALA TERENGGANU, 17 Julai (Bernama) -- Kemaman dan Kuala Terengganu bakal berdepan gangguan bekalan air bersih dalam tempoh dua hingga lima tahun lagi jika projek menaik taraf dan membina loji baharu lambat dijalankan.

Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd (SATU), Husain Embong berkata Kemaman paling kritikal kerana kapasiti loji rawatan air di Bukit Sah, Chukai kini sudah mencapai tahap maksimum.

"Sepatutnya projek menaik taraf loji air di Bukit Sah dan pembinaan satu lagi loji rawatan air serta sebuah empangan kecil di bukit itu sudah patut diteruskan namun terdapat halangan ketika ini.

"Melihat keadaan sekarang di Kemaman, kalau kita tiada lagi infrastruktur itu, saya jangkakan dalam masa dua hingga tiga tahun lagi bekalan air kritikal terutama sekali di kawasan perindustrian yang permintaannya semakin meningkat selain pengguna kawasan domestik akan turut terkesan," katanya kepada pemberita pada majlis SATU bertemu pelanggan-pelanggan utamanya di sini, Khamis.

Menurutnya pembinaan loji rawatan air lazimnya mengambil masa satu hingga lima tahun, justeru pembinaan loji terbabit harus dilaksana segera.

Katanya di Kuala Terengganu pula loji baharu diperlukan terutama di Kuala Nerus yang semakin pesat pembangunannya.

"Kita dah buat kajian dengan kemampuan loji kita di sini cuma dapat bertahan sehingga 2016 dan lepas itu ia berada di peringkat maksimum dan kalau ada lagi pertambahan bangunan, maka kita sudah tidak mampu membekalkan air secara selesa lagi," katanya.

Tahun lepas, SATU mengumumkan pembinaan dua loji rawatan air baharu di Kemaman dan Kuala Nerus bagi menampung keperluan yang semakin bertambah di kedua-dua daerah itu.

Bagi tujuan tersebut, kerajaan negeri Terengganu menerusi Menteri Besar ketika itu Datuk Seri Ahmad Said akan mendapatkan pembiayaan modal pinjaman RM900 juta daripada kerajaan pusat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...