Karnival Candat Sotong Harian Metro 2011 menjadi antara aktiviti dalam kalendar pelancongan negeri yang dijangka mampu menarik penyertaan pelawat tempatan dan luar negeri ke Terengganu.
Program anjuran akhbar Harian Metro dengan kerjasama Kerajaan Terengganu bakal dijalankan di Pulau Warisan dan Ri-Yaz Heritage Maria Resort & Spa, Pulau Duyong, Kuala Terengganu, selama tiga hari bermula 29 April depan.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Datuk Abdul Rahin Mohd Said, berkata karnival yang julung kali dilaksanakan itu menjadi medan bagi mempromosikan negeri ini serta membuka peluang perniagaan kepada penduduk setempat untuk menambah pendapatan.