Jumaat, 29 April 2011

BAM DAKWA MISBUN SIDEK EGO


KUALA LUMPUR - Ahli Exco Senior Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Sayed Abu Bakar Abdullah semalam menegaskan, beliau tidak faham mengapa Datuk Misbun Sidek menolak kontrak baru yang ditawarkan oleh BAM, kerana menganggap jurulatih itu mampu menjadi lebih masyhur andai berjaya menaikkan seorang lagi pemain sehebat Datuk Lee Chong Wei.

Katanya, Misbun tidak sepatutnya menolak untuk melatih sekumpulan pemain pelapis berbakat yang dikenal pasti sebagai pemain masa depan badminton negara, sebaliknya menyahut cabaran baru itu.
Tegasnya, tawaran yang diberikan oleh Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan (C&T) BAM sangat berpatutan, dengan mengambil kira kemampuan yang dimiliki jurulatih tersebut dan keperluan utama badminton negara ketika ini - ketiadaan pemain pelapis berwibawa.

"Beliau sepatutnya menerima tawaran ini kerana ia merupakan cabaran yang hebat. Kalau beliau berjaya menaikkan pemain-pemain pelapis negara ini menjadi sehebat Datuk Lee Chong Wei, maka beliau akan mencipta nama lebih besar.

"Beliau sudah membuktikan kemampuan dengan menaikkan Chong Wei dan sekarang kita memerlukan jaguh baru yang mampu menggantikan Chong Wei atau menjadi lebih baik daripada itu. Misbun adalah orang paling sesuai untuk melakukan tugas tersebut, beliau ada kepakaran.

"Pada saya, C&T mengemukakan tawaran yang sangat berpatutan dan adil, sayang sekali Misbun enggan menerimanya. Secara peribadi, ia memang mengecewakan saya, kerana saya hanya mahu melihat pembangunan badminton negara berterusan,'' ujar Sayed Abu Bakar.

Sayed Abu Bakar, yang juga Presiden Persatuan Badminton Terengganu turut menambah, tempoh terlalu panjang yang diambil Misbun sebelum membuat keputusan sama ada mahu kembali atau tidak ke pangkuan skuad kebangsaan banyak mempengaruhi fikiran jurulatih senior itu.

Katanya, seandainya Misbun tidak mengambil masa sehingga empat bulan untuk membuat keputusan, mungkin penamatnya tidak seperti sekarang. "Selepas meletakkan jawatan pada 31 Disember lalu, beliau ambil masa yang terlalu lama untuk berfikir dan membuat keputusan. Dalam tempoh berkenaan saya percaya banyak faktor sekeliling yang mempengaruhinya.

"Sepatutnya, beliau tidak perlu menjadikan isu ini meleret terlalu lama. Saya mengharapkan satu kesudahan yang lebih baik daripada ini,'' katanya lagi. -Utusan-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...