Jumaat, 27 Mei 2011

Impian Malaysia ranap


Pemain negara gagal ke separuh akhir tewas tipis 2-3
WALAUPUN sudah di ambang kemenangan, tetapi kegagalan mencari mata penamat menyaksikan hajat skuad badminton negara mengejutkan Korea Selatan berkecai apabila tewas 2-3 di suku akhir Piala Sudirman di Qindao, China malam tadi. 
 
Kekalahan skuad diterajui jaguh nombor satu dunia, Lee Chong Wei kepada finalis 2009 itu menamatkan cabaran negara sekali gus menyaksikan impian mengulangi pencapaian terbaik mara ke separuh akhir dua tahun lalu, musnah.
 
Walaupun sudah mendahului 2-1 menerusi mata disumbangkan Chong Wei dan gandingan baru, Tan Boon Heong-Hoon Thien How, tetapi Tee Jing Yi serta Chin Eei Hui-Wong Pei Tty gagal mencari mata penamat menyingkirkan lawan.

“Kita melakukan percaturan berani dan ia hampir berjaya memerangkap lawan. Namun, secara keseluruhannya kita berpuas hati dengan persembahan pemain,” kata jurulatih beregu, Rexy Mainaky.

Skuad negara menggandingkan semula Koo Kien Keat-Chin Eei Hui yang memenangi pingat emas Sukan Komanwel 2010, tetapi ia tidak menjadi apabila pasangan campuran itu tunduk kepada Ko Sung Hyun-Ha Jung Eun 17-21, 17-21.

Begitupun, Chong Wei bangkit menyamakan kedudukan 1-1 apabila mudah menundukkan Park Sung Hwan 21-18, 21-14, sebelum Boon Heong-Thien How mengejutkan gandingan nombor dua dunia, Jung Jae Sung-Lee Yong Dae 21-15, 14-21, 21-14 untuk meletakkan Malaysia mendahului 2-1.

Ketika skuad negara hanya memerlukan satu mana untuk menamatkan cabaran lawan tetapi Jing Yi gagal menandingi kehebatan Bae Joun Yoo apabila tewas mudah 11-21, 11-21 bagi membolehkan Korea mengikat kedudukan 2-2.

Dan Pei Tty-Eei Hui yang disandarkan harapan terakhir mencari mata kemenangan turut gagal apabila tewas kepada Ha Jung Eun-Kim Min Jung 21-19, 16-21, 10-21.
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...