Selasa, 2 Ogos 2011

Harimau Muda tunjuk belang

View Image
PERJUANGAN skuad Harimau Malaya pimpinan Datuk K Rajagobal dalam Kelayakan Piala Dunia 2014 seperti diketahui umum sudah berakhir. Namun, prestasi terbaik dipamerkan anak buah Ong Kim Swee dengan memenangi dua perlawanan awal persahabatan di Slovakia cukup membangggakan. 

Pasukan bawah 23 tahun kebangsaan itu mula mempamerkan taring sebenar apabila menewaskan Moldava 1-0 pada 26 Julai, hasil jaringan Wan Zack Haikal dan kelmarin menumpaskan Topolcany 2-1 menerusi Ferris Danial dan Fandi Othman (penalti).

Selepas ini, mereka masih mempunyai baki lima perlawanan perlu diharungi sehingga penghujung Ogos ini.

Perkembangan terbaru dicatat Harimau Muda sedikit sebanyak memberikan keyakinan kepada peminat tempatan bahawa bola sepak negara masih ada sinar hara-pan di arena antarabangsa apatah lagi mereka bakal menghadapi saingan kelayakan peringkat kumpulan Sukan Olimpik 2012 bermula September depan.

Namun, tidak bagi bekas pengendali kebangsaan, Wan Jamak Wan Hasaan, yang berpendapat, penilaian tidak boleh dilakukan dengan bersandarkan aksi persahabatan semata-mata.

Menurutnya, perlawanan persahabatan dan aksi sebenar adalah dua situasi yang berbeza.

“Bagi saya, memang ada peningkatan skuad kendalian Kim Swee kerana mereka sudah mencatat dua kemenangan berturut-turut aksi di Slovakia.

“Tetapi, kita tidak boleh berpuas hati kerana itu sekadar pertemuan persahaba-tan. Walaupun menang bukan ukuran kerana kita tidak tahu kelemahan pasukan.

“Baik kita kalah dahulu kerana jurulatih mungkin tahu di mana kesilapan dilakukan pemain. Tetapi, itu bukan bermaksud saya menggalakkan pemain bermain sambil lewa dalam aksi persahabatan,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Harus diingat, majoriti pemain dalam pasukan B23 masih muda dan semestinya diletakkan harapan tinggi peminat tanah air bagi mengulangi episod ceria layak ke Temasya Sukan Olimpik Muncih, Jerman Barat pada 1972 sebelum sekali lagi melakukannya pada 1980 di Moscow, Rusia.

Kegagalan pasukan senior baru-baru ini menyebabkan seluruh penyokong negara meratapi kesedihan namun paling mengharukan apabila Stadium Nasional Bukit Jalil penuh segenap ruang sejak dibuka jam 5 petang.

Terima kasih kepada penyokong kerana sanggup mengorbankan wang ringgit semata-mata hadir menyaksikan perlawanan bola sepak malah tidak berganjak walaupun pengadil meniupkan wisel penamat.

Unit Meja Sukan Sinar Harian berdoa agar Kim Swee dan anak buah berjaya layak ke Sukan Olimpik London 2012 dan berharap penyokong memberikan sokongan padu kepada perjuangan mereka sehingga titian peluh terakhir.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...