JAKARTA: Pemeriksaan mengejut petugas Direktorat Jeneral Perhubungan Udara Kementerian Perhubungan Indonesia di Lapangan Terbang Soekarno-Hatta, Tengerang pada Ahad mendapati ada pesawat masih menggunakan tayar yang dikategorikan sudah botak, sebuah akhbar harian melaporkan Isnin.
Pemeriksaan ke atas 17 pesawat milik tiga syarikat penerbangan tempatan itu mendapati bahawa secara umumnya pesawat dalam keadaan baik, kecuali ada pesawat yang menggunakan tayar botak di bahagian depan dan bahagian belakangnya.
Dengan penemuan itu syarikat penerbangan terbabit telah diminta serta-merta menggantikan tayar pesawat terbabit selaras dengan standard keselamatan, Ketua Pengarah Perhubungan Udara Herry Bakti dipetik sebagai berkata di Terminal Dua lapangan terbang itu oleh harian Media Indonesia.
Pengarah Bidang Kelayakan Udara dan Pengoperasian Pesawat Udara Yulis Hasibuan yang bercakap di tempat sama berkata tayar pesawat biasanya dikategorikan botak setelah 250 kali berlepas dan mendarat kerana bunganya telah menjadi terlalu nipis.
Pemeriksaan mengejut itu dilakukan bagi meninjau persiapan dan persediaan terminal udara itu untuk menguruskan sejumlah besar penumpang yang bakal pulang ke kampung, yang lebih dikenali di Indonesia sebagai arus mudik, untuk sambutan perayaan Aidilfitri pada hujung bulan ini.
Herry berkata 14 lapangan terbang lain di Indonesia akan juga diperiksa secara terus-menerus dalam masa terdekat ini. - BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan