Kelibat pemain import kelahiran Zambia, Zacharia Simukonda beraksi bersama pasukan T-Team bakal berakhir apabila kontraknya dijangka ditamatkan dalam masa terdekat ini berikutan masalah kecederaan.
Zacharia dikatakan mengalami kecederaan tisu di pangkal pahanya koyak dan memerlukan masa yang lama untuk pulih.
Jurulatih T-Team, Yunus Alif berkata pasukannya bakal menguji beberapa orang pemain baru dalam sehari dua ini untuk menggantikan tempat Zacharia.
"Kita akan uji sekurang-kurangnya enam pemain dari Mali, Bosnia dan juga England bagi menggantikan Zacharia.
“T-Team akan menanggung kerugian sekiranya mahu menunggu Zacharia pulih daripada kecederaan. Jadi kita terpaksa mencari pemain import baru bagi mengelak prestasi pasukan terjejas," katanya.
Beliau berkata perbincangan dari hati ke hati akan diadakan dengan Zacharia petang ini bagi menyelesaikan masalah pampasan dan hal yang berkaitan dengan penamatan kontrak.
Yunus berkata T-Team berharap dapat menggunakan khidmat pemain import baru sebelum 13 Februari iaitu tarikh akhir pendaftaran pemain import ditutup oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
"Kalau kita tidak mendaftar dalam tempoh itu, kita terpaksa tunggu tarikh baru pendaftaran pemain import pada April depan," katanya.
Beliau berkata dalam masa ketiadaan pemain import, T-Team terpaksa membuat persediaan dengan bergantung sepenuhnya kepada pemain tempatan untuk menghadapi perlawanan seterusnya.
"Walaupun tanpa pemain import, saya yakin pemain tempatan dapat melakukan yang terbaik," katanya.
Perlawanan seterusnya T-Team bertemu Negeri Sembilan di Paroi pada 8 Februari ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan