Ahad, 26 Ogos 2012

Piala Malaysia: Misi 33 Selangor di laluan sukar


Piala Malaysia
'MISI 33' yang dicanang pasukan Selangor tampak semakin mustahil apabila skuad bimbingan Irfan Baktiar hanya mampu mengikat keputusan seri 2-2 pada perlawanan kedua Kumpulan D di Stadium Shah Alam, malam ini.

Dengan keputusan tersebut, Selangor hanya berjaya mengutip satu mata setelah tewas 1-2 kepada Sarawak pada aksi sulung Piala Malaysia, Rabu lepas.

Dalam babak pertama, Pahang terlebih dahulu membolosi gawang lawan menerusi pemain importnya, Maicon pada minit ke 14.

Bagaimanapun kegembiraan skuad Dollah Salleh tidak bertahan lama apabila Safiq Rahim berjaya menyamakan kedudukan 1-1 selang satu minit kemudian.

Perlawanan semakin hangat berlangsung apabila kedua-dua pasukan saling mengasak kubu masing-masing.

Pahang yang mencari kemenangan kedua terus cemerlang apabila berjaya menjaringkan gol kedua menerusi Fauzie Roslan pada minit ke-25.

 Di babak kedua, Selangor yang mencari kemenangan pertama terus membuat asakan bertali arus untuk mencari gol tetapi usaha mereka masih buntu.

Namun, asakan demi asakan, Selangor berjaya mengikat gol penyamaan 2-2 menerusi Bosko Balaban pada minit ke-65 bagi memastikan pasukan tuan rumah tidak diaibkan di laman sendiri.

Sementara itu, aksi pada satu lagi perlawanan Kumpulan D di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Ismail, T-Team terpaksa berpuas hati apabila terikat seri tanpa jaringan dengan Sarawak.

Dalam aksi perlawanan Kumpulan A di Stadium TSDH Hassan Yunos, Johor FC meraih tiga mata apabila menewaskan Johor 2-1.

Dalam satu lagi perlawanan Kumpulan A, di Stadium Jalan Besar, pasukan tuan rumah Lions XII membelasah PKNS 3-1.

Di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, anak buah B Sathianathan terus memulakan saingan dengan cemerlang apabila Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menewaskan Terengganu, 2-1 sekali gus mengukuhkan kedudukan di Kumpulan B.

Di Stadium Sultan Muhammad IV pula, Afiq Azmi menyelamatkan Kelantan apabila menjaringkan dua gol untuk menewaskan Kedah 2-1, sekali gus mencerahkan peluang skuad bimbingan Bojan Hodak ke suku akhir.

Dalam saingan Kumpulan C di Stadium Tunku And Rahman,Paroi, juara Piala Malaysia 2012, Negeri Sembilan mempamerkan aksi cemerlang apabila membenam Sime Darby 4-0.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...