PEKAN, 4 Ogos (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata
seluruh rakyat Malaysia perlu bersama-sama Datuk Lee Chong Wei dalam usaha
beliau meraih pingat emas pertama negara pada Sukan Olimpik.
Najib
berkata Lee yang layak ke final acara perseorangan badminton selepas menewaskan
pemain China, Chen Long 21-13, 21-14 dilihat mempunyai kekuatan mental dan emosi
bagi menggenggam emas negara.
Lee akan bertemu musuh tradisinya Lin Dan
pada final esok selepas pemain itu menewaskan pemain Korea Selatan Lee Hyun pada
satu lagi aksi separuh akhir.
"Rakyat Malaysia akan memberi sokongan dan
semangat dan saya katakan pada dia buatlah, menanglah untuk Malaysia, lakukannya
untuk Malaysia," katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian sumbangan
zakat pada golongan asnaf bagi Parlimen Pekan di sini, hari ini.
Turut
hadir, isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.
Najib berkata
Lee mempunyai peluang yang cukup besar untuk meraih pingat emas pertama serta
cukup kuat mental dan emosi untuk menghadapi cabaran Lin Dan.
Sementara
itu, Rosmah akan berlepas ke London malam ini untuk memberi semangat kepada
Chong Wei.
Beliau yang juga penaung Persatuan Badminton Malaysia (BAM)
meminta semua rakyat Malaysia turut sama berdoa agar Chong Wei berjaya mencapai
kemenangan esok.
"Saya harap Chong Wei tidak gentar menghadapi Lin Dan,"
katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan