Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
(Bernama) pada tahun 1984 pernah melaporkan tentang kumpulan ekstremis
PAS yang diwujudkan untuk membunuh perdana menteri ketika itu Tun Dr
Mahathir Mohamad, kata Pengerusi Bernama Datuk Abdul Rahman Sulaiman.
Abdul Rahman yang bertugas sebagai pengarang Perkhidmatan Berita Dalam
Negeri Bernama ketika laporan itu disiarkan berkata maklumat bagi
penghasilan laporan khas bertarikh 11 Sept 1984 nukilan wartawan Bernama
itu diperoleh daripada sumber risikan agensi berita itu sendiri.
"Bernama dapat mengesan ancaman terhadap Dr Mahathir itu lebih awal
daripada pembunuhan yang dirancang ingin dilakukan pada 1988," katanya
kepada Bernama di sini, Rabu.
Pada Isnin lepas, bekas anggota PAS seumur hidup, Zainon Ismail atau
nama penanya CN Afghani yang juga penulis buku 'Kafirkah Aku?'
dilaporkan berhasrat menemui Dr Mahathir untuk meminta maaf kerana
merancang membunuh bekas perdana menteri itu pada 1988.
Bernama dalam laporan lain bertarikh 14 Sept 1984 menyiarkan reaksi Dr
Mahathir terhadap ancaman itu, yang beliau telah mendapat tahu ura-ura
PAS menubuhkan kumpulan untuk membunuh pemimpin Umno, namun menegaskan
tidak mempunyai bukti tentang perkara itu.
Laporan khas pada 11 Sept itu juga mendakwa seorang daripada pemimpin
PAS Kedah dikatakan pernah memberikan senarai lima tokoh Umno yang harus
dibunuh demi menegakkan hukum Islam di negara ini.
Ditanya adakah isu ini ditimbulkan semula bagi meraih kepentingan
politik, Abdul Rahman berkata setiap orang punya pendapat masing-masing,
namun mengingatkan rakyat di negara ini supaya tidak memandang enteng
tentang hal keselamatan negara.
"Dulu masa awal tragedi di Lahad Datu ada pihak yang tidak begitu
memandang serius, malah ada individu yang menuduh ini permainan politik.
Tetapi bila ia mengorbankan nyawa anggota keselamatan kita, baru semua
orang pandang serius.
"Generasi kita sekarang tidak mengalami situasi yang dialami generasi
terdahulu seperti ancaman komunis, mungkin kerana itu mereka kurang
waspada tentang perkara seperti ini. Apapun masyarakat diharap tidak
memandang remeh perkara sebegini," katanya.
Mengulas reaksi Dr Mahathir dalam laporan itu yang menyebut perjuangan
PAS menjadi berbahaya setelah menukar kepimpinan, Abdul Rahman berkata
kenyataan itu berasas kerana adanya pemimpin muda PAS seperti Datuk Seri
Abdul Hadi Awang yang kini presiden PAS, juga pengasas pendapat
ekstremis 'Amanat Haji Hadi'.
"Abdul Hadi ketika itu pemimpin muda PAS yang punya pengikut sendiri
terutama dalam kalangan golongan muda. Beliau seorang pemidato yang
berani, membuatkan ramai yang terpengaruh," katanya. -- BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan