Isnin, 22 Disember 2014

Amaran kenaikan air sungai di Terengganu

KUALA TERENGGANU, 22 Disember: Bahagian Hidrologi Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Terengganu hari ini mengeluarkan amaran kenaikan air sungai bermula pukul 7.00 malam ini di sekitar Dungun, Kemaman dan Hulu Terengganu.

Menurut Pemangku Setiausaha Majlis Keselamatan Negara (MKN) Terengganu, Roslina Ngah, setakat pukul enam petang, rekod data taburan hujan menunjukkan bacaan yang sangat lebat di tiga daerah tersebut, terutama di bahagian pedalaman.

“Terdapat enam stesen data hujan yang mencatat bacaan sangat lebat melebihi 80 milimeter iaitu Pasir Raja (188 mm) dan Kuala Jengai di Dungun (162 mm); Kuala Ping (118 mm) dan Kampung Sekayu di Hulu Terengganu (84 mm); Hulu Angga di Besut (87 mm).


“Manakala di Kemaman, tiga stesen data yang menunjukkan taburan hujan sangat lebat ialah di Air Putih (196 mm), Tebak (237 mm) dan di JPS Kemaman (237 mm),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, akibat dari hujan lebat itu, paras air Sungai Kemaman dan Sungai Dungun kembali menunjukkan trend meningkat di mana Sungai Dungun di Pasir Raja telah mencatat bacaan setinggi 37.6 meter mengatasi paras bahaya 36 meter pada pukul enam petang.

Roslina berkata beberapa buah kampung di pedalaman Hulu Dungun dijangka mengalami banjir akibat limpahan Sungai Dungun.

“Ramalan pertembungan air laut pasang bermula esok hingga Sabtu (27 Disember) akan menyebabkan beberapa kawasan yang berisiko banjir semula sekiranya hujan masih berterusan pada malam ini,” katanya.

Beliau turut menasihatkan penduduk agar sentiasa bersedia menghadapi sebarang kemungkinan dan mengikut arahan jabatan dan agensi penyelamat dalam operasi banjir demi keselamatan mereka.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...