Isnin, 15 Februari 2016

Peratusan kes dadah meningkat Di Terengganu

KUALA TERENGGANU - Terengganu mencatatkan peningkatan sehingga 100 peratus kes penagih dan penyalahgunaan dadah pada tahun lepas berbanding tahun sebelumnya.

Pengerusi Jawatankuasa Transformasi Kerajaan, Komunikasi dan Multimedia negeri, A Latiff Awang berkata, statistik itu meningkat kepada 1,123 kes pada 2015 berbanding hanya 854 kes pada 2014.

Jumlah berkenaan melibatkan penagih baharu serta penagih berulang dan ini menunjukkan secara purata negeri Terengganu mencatatkan 112 kes baharu dan penagih berulang setiap bulan bagi tahun 2015.


“Daerah Kemaman menunjukkan kes paling banyak iaitu 219 diikuti Kuala Terengganu (122) dan ketiga daerah Dungun (120).

“Seterusnya daerah Marang (98), Besut (64), Setiu (56) dan paling rendah di Hulu Terengganu (32) yang dicatatkan bagi kes pada tahun 2015,” katanya sempena program Jelajah AADK 2016, di sini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah Pengurusan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Azizan Ariffin, Pengarah Pencegahan AADK, Abdul Rahman Hamid dan Pengarah AADK Negeri, Rohayu Ahmad.

Menurut A Latiff yang juga selaku Pengerusi Jawatankuasa Pemandu Membanteras Dadah, penglibatan pelajar sekolah juga amat membimbangkan apabila turut berlaku peningkatan jumlah pelajar positif dadah berbanding 2014 hanya 155 kes manakala bagi 2015 sebanyak 170 kes direkodkan.

Bagi tahun 2015, sekolah di daerah Kuala Terengganu mencatatkan sebanyak 39 kes diikuti Kemaman (35), Dungun (31), Besut (26), Hulu Terengganu (19), Marang (12) dan Setiu (8).

Berikutan masalah itu dilihat agak membimbangkan, kerajaan negeri memutuskan untuk mengadakan Jelajah Membanteras Dadah di peringkat negeri yang bakal dimulakan di daerah Kuala Nerus pada Mac depan.

“Kerajaan negeri akan turun padang bersama AADK negeri dan beberapa agensi lain di bawah Jawatankuasa Pemandu Membanteras Dadah untuk memastikan penyalahgunaan dadah dapat dihapuskan,” katanya.

Sumber: KLIK DISINI


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...