Selasa, 12 April 2011

Bekas Pemain Bola Sepak Ditahan Miliki 120 Gram Heroin

KUALA TERENGGANU, 11 April (Bernama) -- Seorang bekas pemain bola sepak Piala Presiden pasukan Terengganu dan isterinya ditahan kerana disyaki terlibat dengan pengedaran dadah.

Pemain bola sepak berusia 21 tahun dan isterinya berusia 34 tahun itu ditahan dalam serbuan polis ke rumah pasangan itu di Taman Tasik, Wakaf Dua, Bukit Payong pada pukul 9.30 malam, Sabtu lepas.

Polis menemui dadah jenis heroin seberat 120 gram yang dianggar bernilai RM30,000 di rumah itu, kata Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik negeri Supt Roslan Abd Wahid.
"Polis terpaksa memecahkan pintu rumah itu setelah pasangan terbabit enggan bekerjasama apabila diminta membuka pintu," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata serbuk putih dipercayai heroin itu ditemui dalam 30 botol dengan 10 daripadanya dibalut dengan kertas surat khabar dari negara jiran hasil pemeriksaan terhadap sebuah beg tangan wanita.

Polis turut menyita wang tunai, akaun bank, sebuah kereta, sebuah motosikal dan barangan kemas yang kesemuanya dianggar bernilai RM217,412, katanya.

Roslan berkata siasatan awal mendapati pasangan suami isteri itu aktif menjalankan kegiatan pengedaran dadah di negeri ini sejak tiga tahun lepas dan wanita terbabit pernah ditahan pada tahun 2007 atas kesalahan memiliki dadah.

Hasil ujian air kencing terhadap kedua-dua mereka bagaimanapun didapati negatif dadah, katanya.

Pasangan yang tidak mempunyai pekerjaan tetap itu kini ditahan reman selama seminggu untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...