Penjawat awam perlu menjadi penyampai maklumat berkaitan ilmu dan perubahan yang dilaksanakan kerajaan kepada masyarakat supaya dapat memahami dasar secara lebih mendalam.
Di samping itu, mereka juga mesti berfikiran kritis dan konsuktif dalam menunaikan tanggungjawab dan amanah dengan mencari penyelesaian kreatif dan inovatif di luar kelaziman.
Ahli Majlis Perwakilan Pemangku Raja Terengganu, Yang Teramat Mulia (YTM) Tengku Sri Bendahara Raja berkata peranan pantas bertindak dan membuat keputusan itu pula penting kerana tindakan sedemikian akan meningkatkan kitaran wang dalam sistem ekonomi negeri.
Katanya, ia juga dapat mengelak pembaziran dalam usaha memastikan setiap ringgit dan sen yang dibelanjakan dapat pulangan nilai paling maksimum kepada kerajaan dan rakyat.
“Matlamat nilai untuk wang perlu dicapai dan kaedah pengurusan nilai perlu diterapkan di semua peringkat perancangan dan pengurusan.
“Jesturu itu, pemikiran yang mengaplikasikan kreativiti dan inovatif dalam setiap penyelesaian perlu diutamakan,” katanya ketika berucap di Majlis Istiadat Pembukaan Penggal Persidangan Dewan Undangan Negeri di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini (9 Mei).
Katanya, berfikir secara konvensional hendaklah dielakkan dalam melakukan tugasan. Laksanakan tugas dengan bersungguh-sungguh dan tidak sambil lewa.
“Ia sekali gus menghapuskan sinonim `budaya cincai’ yang mengambil sikap endah tidak endah dengan tugas yang dilaksanakan.
“Pembelajaran sepanjang hayat adalah perlu bagi penjawat awam membaiki mutu perkhidmatan supaya lebih berkualiti dan diterima masyarakat,” katanya.
Menurutnya, Terengganu Negeri Anjung Ilmu adalah cetusan idea ke arah membentuk modal insan yang cemerlang melalui pembangunan fizikal dan roahni yang mantap.
“Sasaran kerajaan negeri menjadikan Terengganu sebagai hub pendidikan Malaysia yang terunggul, mengatasi dan mendahului dalam semua aspek sama ada berkaitan kecemerlangan , inovasi dan kreativiti.
“Pada tahun lepas, seramai 6,246 kanak-kanak tadika dari Yayasan Islam Terengganu, Kemas, Perpaduan dan pra sekolah berjaya khatam al-Quran dalam program Pintar al-Quran,” katanya.
Katanya, mulai tahun ini, kerajaan negeri telah memperkenalkan program kelas maya di tiga sekolah perintis iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Paya Bunga, SK Teluk Kalong dan SK Kompleks Seberang Takir.
“Pelaksanaan kelas maya adalah satu kaedag pengaplikasian Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) secara maksimum.
“Tiada alasan tidak menggunakan e-Book dalam sistem pembelajaran dan pengajaran di sekolah. Dijangka menjelang akhir tahun ini sekurang-kurangnya 32 sekolah dan mempunyai kelas maya,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan