Rabu, 11 Mei 2011

Tempoh Perkhidmatan Ketua Polis Negara Dilanjutkan Dua Tahun

KUALA LUMPUR, 10 Mei (Bernama) -- Tempoh perkhidmatan Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar telah dilanjutkan selama dua tahun berkuatkuasa pada Selasa setelah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein berkata lanjutan perkhidmatan tersebut juga dibuat setelah mendapat persetujuan daripada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Tempoh pelanjutan kontrak perkhidmatan selama dua tahun ini diharap mampu memberi ruang dan peluang yang mencukupi kepada beliau untuk terus memberikan khidmat bakti yang terbaik dan berkualiti bukan sahaja untuk kepentingan Polis Diraja Malaysia (PDRM) tetapi juga masyarakat dan negara keseluruhannya," katanya pada sidang media di Bukit Aman di sini pada Selasa.
Beliau berkata gandingan mantap Ismail dengan Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Khalid Abu Bakar yang baru dilantik diharap dapat memastikan apa juga hala tuju PDRM untuk menjaga keamanan dan keselamatan negara dapat dipikul dengan bersungguh-sungguh.

"Bukan sahaja dapat direalisasikan tetapi juga dapat difahami dan dapat diterima oleh rakyat jelata," katanya.

Ismail yang kini telah menyandang jawatan Ketua Polis Negara selama lapan bulan telah dilantik ke jawatan tersebut pada September 2010 bagi menggantikan penyandang sebelumnya iaitu Tan Sri Musa Hassan.

Hishamuddin berkata dalam masa terdekat ini, Ismail akan mengumumkan pelantikan pengarah baru dalam PDRM bagi memperkemaskan lagi pasukan pengurusan dan pentadbiran sedia ada.

"Dengan penyusunan pengurusan dan pentadbiran PDRM ini, saya berharap pasukan PDRM akan mampu menentukan hala tuju yang lebih jelas sekaligus berusaha bersungguh-sungguh bagi membantu menjayakan dasar-dasar yang dilaksanakan kerajaan.

"Ianya termasuk Program Transformasi Kerajaan (GTP) serta Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) mengurangkan jenayah yang terbukti membawa manafaat yang besar kepada rakyat dan negara," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...