Sabtu, 7 Mei 2011

Tender pembangunan Pulau Bebas Cukai keluar minggu depan


Kerajaan negeri akan mengeluarkan tender dan sebut harga bagi lima pakej pembangunan Pulau Bebas Cukai, di Tasik Kenyir Hulu Terengganu, bermula minggu depan.

Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata bagi merealisasikan sebuah kawasan bebas cukai yang serba lengkap, pihak berkaitan sedang giat melaksanakan pembangunan prasarana termasuk Kompleks Bebas Cukai dan Kompleks Kastam yang dirancang dibina di Pulau Bayas, selain mewujudkan rangkaian gedung yang akan menjual barangan berkualiti berkonsepkan Factory Outlet.


Katanya, pada masa sama, Tenaga Nasional Berhad (TNB) kini sedang giat menjalankan kerja-kerja memasang kabel elektrik sejauh 23 kilometer (km) iaitu bermula dari Kampung Kuala Ping, Hulu Terengganu ke Pulau Bayas, Tasik Kenyir membabitkan kos RM33 juta.

“Status Tasik Kenyir sebagai pulau bebas cukai akan membantu menarik lebih ramai pelancong ke negeri ini, sekali gus meningkatkan ekonomi negeri dan rakyatnya, terutama penduduk setempat.

“Kita harap ini akan menjadi pemangkin kepada sektor pelancongan Terengganu. Selama ini kita anggap Tasik Kenyir sebagai sebuah tasik yang 'tidur'. Hampir 30 tahun tidak ada kegiatan dan pembangunan, katanya kepada pemberita selepas merasmikan Festival Kenyir 2011, Hulu Terengganu, hari ini (6 Mei).

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan dan Alam Sekitar negeri, YB Toh Chin Yaw; Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Telemong, YB Haji Rozi Mamat dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan), Dato’ Haji Mat Razali Kassim.

Tetamu kehormat lain, Ahli Parlimen Hulu Terengganu, YB Haji Mohd Nor Othman; Pengurus Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah), Encik Hamzah Ngah; beberapa pemimpin masyarakat dan pegawai kanan kerajaan.

Lebih 170 gerai pameran dan jualan daripada agensi kerajaan dan swasta di samping usahawan dari wilayah Ketengah mengambil bahagian dalam program itu.

Pelbagai aktiviti air diadakan menarik minat pengunjung katanya, seperti pertandingan jet ski, triathlon Kenyir, bot berhias, pertunjukan perahu naga Putrajaya dan permainan bot kawalan jauh.

"Selain pertunjukan belon udara panas yang bakal mewarnai langit Tasik Kenyir, festival turut dimeriahkan dengan penampilan krew produksi dan pelakon siri kartun terkenal, Upin dan Ipin," katanya.

Sementara itu, pihak penganjur turut memberi kemudahan kepada orang ramai dengan menyediakan pengangkutan bas dan van dari Bandar Kuala Berang, Hulu Terengganu ke Pengkalan Gawi.

Dato’ Seri Haji Ahmad turut memberitahu sebanyak RM100 juta diperuntukan untuk pembangunan prasarana pelancongan di tasik buatan manusia itu, antara lain menempatkan taman tema air di Pulau Besar, Taman Orkid, Santuari Kelah, Santuari Gajah, Taman Herba, Taman Burung, Taman Rama-Rama dan Taman Anggur.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...