Rabu, 1 Jun 2011

Hadiah ke London, Eropah buat Skuad Terengganu


Ganjaran berganda buat pasukan Terengganu jika muncul juara Piala FA dan Liga Super musim ini. Kerajaan Terengganu berjanji akan membawa semua pemain melawat Kota London jika memenangi Piala FA dan lawatan mengelilingi seluruh Eropah jika mengulangi kejuaraan pada Liga Super 2011.

Demikian janji Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said selepas melancarkan Majlis Penyerahan Bendera Kontinjen Terengganu Sukma Ke-14 Kuala Lumpur 2011, di Pusat Konvensyen Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu, malam tadi.


Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, YB Haji Rozi Mamat; Penasihat Undang-Undang negeri, YB Noorbahri Baharuddin; Pegawai Kewangan negeri, Dato’ Abdul Razak Ismail dan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, Dr A Rahman Mokhtar.

Hadir sama, Ketua Kontinjen Sukma Ke-14 merangkap Timbalan Setiausaha Kerajaaan (Pengurusan), Dato’ Wan Ahamad Wan Muda.

Menteri Besar sebelum itu mengumumkan pelbagai insentif kepada atlet Terengganu yang akan menyertai Sukma ke-14, turut berharap pasukan bola sepak Terengganu mampu menjulang Piala FA dalam perlawanan akhir, di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur 11 Jun ini.

Sementara itu, sebagai komitmen dan sokongan tidak berbelah bahagi kepada pasukan negeri menjelang persaingan akhir itu, setiap wakil rakyat dan Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) menyediakan kemudahan bas untuk penduduk di kawasan masing-masing bersama-sama memberi sokongan kepada pasukan negeri.

Sehingga ini, DUN Kijal mengesahkan menyediakan 15 buah bas manakala DUN Seberang Takir 13 buah bas bagi tujuan itu.

Difahamkan beberapa DUN lain turut menyediakan perkhidmatan yang sama sebagai tanda penghargaan kepada pasukan Terengganu.

Dalam pada itu, beliau yang kesal dengan kekalahan tipis Terengganu ketika menentang Kedah di laman sendiri malam Sabtu lalu, berkata laluan Terengganu sedikit berliku untuk muncul pendahulu Liga Super akibat keputusan itu, namun beliau tetap optimis skuad bimbingan Irfan Bakti Abu Salim itu masih berpeluang untuk mencipta kejayaan cemerlang dalam baki tiga perlawanan lagi.

“Pasukan Terengganu mempunyai tiga lagi baki perlawanan sebelum menamatkan persaingan Liga Super. Pemain tidak boleh leka dan terlalu yakin walaupun berada pada kedudukan terbaik dan saya berharap Terengganu mampu menang dengan cemerlang ,” katanya lagi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...