BARCELONA - Naib presiden Barcelona, Josep Maria Bartomeu membuat kenyataan yang diibaratkan 'menampar muka Arsenal' selepas menyifatkan pembelian Ces Fabregas pada harga 35 juta pound (RM168.5 juta) sebagai 'urus niaga sangat bagus'.
Menurut Bartomeu, selepas menilai persembahan awal musim, Fabregas sepatutnya bernilai 53 juta pound (RM255 juta), sama seperti harga permintaan Arsenal pada awalnya.
Pemain tengah 24 tahun itu melengkapkan perpindahan ke kelab asalnya bulan lalu, iaitu lapan tahun selepas menyertai Arsenal sebagai remaja pada 2003 dan bermula cukup memberangsangkan di Nou Camp.
Dia menjaringkan gol cantik dalam perlawanan Piala Super Eropah menentang Porto dan turut menyumbang gol pada penampilan sulung La Liga yang menyaksikan Barca memulakan kempen mempertahankan kejuaraan dengan membelasah Villarreal 5-0.
"Berdasarkan prestasinya pada awal musim, pembelian Cesc satu urus niaga yang sungguh berbaloi. Harga sebenar Cesc adalah seperti apa yang diminta oleh Arsenal iaitu sekurang-kurangnya 60 juta euro (53 juta pound).
"Percaturan kami mengumumkan sejak awal lagi bahawa hanya mampu berbelanja 45 juta euro (39 juta pound) nampaknya berkesan. Mereka sedar kedudukan kewangan kami," katanya.
Sementara itu, Bartomeu juga menanam harapan agar jurulatih Pep Guardiola yang membimbing Barca menjulang tiga kejuaraan La Liga berturut-turut dan dua kejuaraan Liga Juara-Juara sejak 2008, akan terus kekal untuk beberapa musim akan datang. - Agensi
Tiada ulasan:
Catat Ulasan