Jumaat, 9 September 2011

Polis Tahan Tujuh Suspek, Rampas Dadah Bernilai RM2.6 Juta termasuk di Terengganu

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia menahan tujuh suspek termasuk empat warga asing serta merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM2.6 juta di Lembah Klang dan Terengganu, dalam tempoh tiga hari sejak Selasa.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Noor Rashid Ibrahim berkata kesemua mereka yang berusia antara 20 dan 41 tahun itu membabitkan beberapa sindiket pengedaran dadah.
Bercakap pada sidang media di sini pada Khamis, Noor Rashid berkata penangkapan pertama membabitkan tiga lelaki termasuk satu warga Thailand di Bandar Sri Damansara kelmarin, kira-kira pukul 11.15 malam.

"Pada mulanya kita tahan seorang lelaki warga asing yang memandu kereta jenis Toyota Crown. Susulan itu polis menahan dua lagi rakannya di kawasan yang sama.
"Hasil pemeriksaan ke atas kereta itu, kita menjumpai 60 ketulan mampat dadah jenis ganja yang disembunyikan di ruang sulit khas pada bahagian kereta yang telah diubah suai," katanya.
Beliau berkata siasatan awal juga mendapati suspek aktif menyeludup masuk dadah dari Thailand untuk pasaran di sini sejak tiga bulan lepas.
Kes kedua di Lembah Klang ialah penangkapan tiga suspek warga asing termasuk seorang wanita pada 4.15 pagi tadi di belakang sebuah stesen minyak di Jalan Duta di sini.
"Pada masa itu dua lelaki telah keluar dari kereta dan cuba melarikan diri namun berjaya ditangkap setelah berlaku pergelutan. Turut ditahan seorang wanita yang berada di dalam kereta.
"Hasil pemeriksaan di dalam kereta, polis merampas dua beg galas yang berisi 29 ketul dadah jenis ganja dengan anggaran berat 28.1 kg," katanya.
Beliau berkata siasatan ke atas dua lelaki warga Nigeria dan wanita Thailanditu mendapati dadah tersebut dibawa dari Nigeria dan transit di Thailand sebelum dibawa masuk untuk pasaran di negara ini.
Selain itu, Noor Rashid berkata JSJN Terengganu juga berjaya menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah dengan penangkapan seorang lelaki tempatan berusia 26 tahun kelmarin.
"Pelbagai jenis dadah yang telah kita rampas iaitu 6,930 biji pil WY dengan nilai kira-kira RM173,250, lima botol heroin berjumlah RM5,000 dan wang tunai berjumlah RM31,000," katanya.
Beliau berkata kesemua suspek kini ditahan reman dan semua kes disiasat mengikut Seksyen 39 (B) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan. - BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...