PARIS - Selepas bermula hambar, Manchester United, Manchester City dan Inter Milan perlu memburu kemenangan pada perlawanan kedua Liga Juara-Juara hari ini.
Pemerhati sukan berpendapat ketiga-tiga kelab tersebut memerlukan kekuatan luar biasa untuk merampas trofi daripada Barca.
Untuk menyaingi kelab Catalan itu, United yang sekadar seri pada perlawanan pembukaan di Benfica, City buntu ketika melayan Napoli di tempat sendiri dan kekalahan mengejut Inter kepada kelab Turki, Trabzonspor menuntut usaha yang bukan sedikit.
City gugup ketika menentang Napoli apabila beraksi buat pertama kali dalam Liga Juara-Juara.
Mereka sekadar sekadar seri 1-1 di Stadium Etihad dan pengurus, Roberto Mancini mengakui pasukannya gementar pada perlawanan pertama itu.
Begitupun, dia meramalkan tekanan semakin berkurangan apabila bakal menurunkan dua tonggak Carlos Tevez dan Mario Balotelli pada perlawanan pertama di tempat lawan dalam Kumpulan A.
City dan Bayern tidak pernah bertemu sebelum ini, tetapi Bayern memiliki kelebihan dari segi pengalaman, meskipun City diperkuatkan dengan gandingan empat tonggak iaitu Tevez, Balotelli, Owen Hargreaves dan Yaya Toure.
Bayern garang apabila menang 2-0 ke atas Villareal di tempat lawan pada perlawanan pertama dan jika menang hari ini, ia bakal meletakkan mereka sebelah kaki ke pusingan seterusnya.
Keyakinan kelab Bavaria itu semakin memuncak selepas membelasah Bayer Leverkusen untuk berada pada puncak Bundesliga dengan kelebihan dua mata.
"Kami bakal menghadapi perlawanan yang besar dan penting untuk kami bermain cemerlang sepanjang 90 minit permainan," kata jurulatih Bayern, Jupp Heynckes.
Manchester United berdepan kelab Switzerland, Basel tanpa kehadiran Wayne Rooney yang mengalami kecederaan hamstring.
Pengurus, Alex Ferguson terpaksa mencongak strategi untuk mencatur kesebelasan terbaik tanpa kelibat Rooney, sementara menanti berita terbaru mengenai perkembangan Javier Hernandez yang cedera ketika seri 1-1 di Stoke, Ahad lalu.
"Saya perlu menggerakkan keseluruhan skuad. Saya rasa ada perubahan yang perlu dilakukan menjelang perlawanan, esok.
"Jika kami menang dalam tiga perlawanan berikutnya, ini bermakna kami mampu memanfaatkan skuad ini secara keseluruhan," kata Ferguson. - AFP
Tiada ulasan:
Catat Ulasan