Rabu, 5 Oktober 2011

Fadhli, Irfan cipta sejarah

pix_gal0


DUA pemain muda negara, Irfan Fazail dan Fadhli Shas mencipta sejarah tersendiri apabila muncul warga Malaysia pertama turun beraksi secara rasmi dalam dua saingan bola sepak di Slovakia, Liga Corgon dan Piala Slovnaft. 

Kedua-dua pemain tersebut yang berusia 20 tahun bersama seorang lagi pemain muda negara, Wan Zack Haikal Wan Nor diambil kelab ViOn Zlate Moravce sebagai pemain pinjaman selama dua bulan bermula 26 Ogos lalu.
Irfan dimasukkan pada minit ke-86 ketika ViOn menewaskan AS Trencin 3-0 pada aksi Liga Corgon, Sabtu lalu manakala Fadhli terdahulu dimasukkan pada minit ke-82 ketika ViOn menundukkan Spartak Myjava 3-0 pada pusingan ketiga Piala Slovnaft, Selasa lalu.
“Terima kasih kepada jurulatih (Juraj Jarabek) kerana beri peluang untuk saya beraksi buat kali pertama pada aksi Liga Corgon ini. Saya rasa cukup gembira. 

“Tahap bola sepak di sini (Slovakia) sememangnya berintensiti tinggi. Jadi sesuatu yang baik untuk saya berada di sini dan beraksi bersama ViOn,” kata Irfan yang beraksi di posisi tengah. 

Sementara itu, Fadhli yang diturunkan dalam saingan Piala Slovnaft tidak dimasukkan pada aksi Sabtu lalu, lantas berharap dia juga diberi peluang membuat penampilan sulung dalam saingan Liga Corgon selepas ini. 

“Saya sangat seronok kerana diberi peluang masuk sebagai pemain gantian. Tapi tak banyak boleh saya lakukan kerana beraksi kurang 10 minit. 
“Jadi saya harap jurulatih akan beri peluang untuk saya beraksi dalam kesebelasan utama selepas ini dan saya juga cukup bangga dapat beraksi untuk kelab ini,” ujar Fadhli, pemain pertahanan tengah. 

Wan Zack Haikal yang beraksi di posisi sayap masih belum berpeluang beraksi kerana sedang dalam proses pemulihan selepas cedera buku lali ketika aksi Kelayakan Olimpik menentang Jepun di Tosu, 21 September lalu. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...