Khamis, 16 Ogos 2012

Nicol mara ke pusingan kedua Terbuka Australia


CANBERRA: Pemain nombor satu dunia dan juara bertahan, Datuk Nicol David mara ke pusingan kedua kejohanan skuasy Terbuka Australia di sini selepas diuji kehebatannya oleh pemain muda Wales, Tesni Evans pada Rabu.

Nicol, yang menang mudah pada set pertama, kalah mengejut pada set kedua selepas menerima tentangan hebat daripada Evans, 19, dan menjadikan kedudukan 1-1.

Ratu skuasy Malaysia itu kemudian menyusun kembali permainannya dan memenangi set ketiga 11-3, 8-11, 11-4, 11-8. 

"Saya bekerja keras sepanjang permainan tadi untuk menang. Lihatlah sendiri kemampuannya mengawal bola. Dia memang berbakat besar dan tidak mudah mengalah," kata Nicol kepada pemberita selepas perlawanan itu.

Nicol bertemu rakan senegara Low Wee Wern pada pusingan kedua dalam usahanya menjulang Piala Heather McKay untuk tahun kedua berturut-turut.

Pemain Australia, Rachael Grinham pula mengalahkan lawannya dari Afrika Selatan, Siyoli Waters untuk mara ke pusingan kedua.

Pemain pilihan kelima Grinham terpaksa menggunakan segala pengalamannya untuk menjinakkan Waters dengan mata 11-8, 13-11, 11-9 pada perlawanan yang berlangsung di gelanggang kaca Royal Theatre di sini.

Selepas ini, Grinham akan menentang rakan senegaranya Donna Urquhart yang mengalahkan Kylie Lindsay 11-7 11-3, 11-6.

Kasey Brown adalah seorang lagi pemain Australia yang mara ke pusingan kedua apabila dia menumpaskan pemain Denmark Line Hansen 11-6, 11-4, 11-2.

Terdahulu, juara 2010 Madeline Perry dari Ireland memulakan kempennya dengan penuh bergaya dan mengalahkan pemain Malaysia Siti Munirah Jusoh 11-3, 11-9, 11-1. - BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...