NUSAJAYA 15 Sept. - Kira-kira 20,000 orang dari dalam dan luar negara mengunjungi Legoland Malaysia apabila ia mula dibuka kepada orang ramai hari ini.
Malah mereka sanggup menunggu seawal pukul 8 pagi sebelum pintu masuk ke taman tema bertaraf antarabangsa itu dibuka pada pukul 10 pagi.
Paling bertuah ialah Rosyati Nasro, 44, dan keluarganya dari Johor Bahru yang menjadi pengunjung pertama menjejakkan kaki ke taman itu dan disambut sendiri oleh Pengurus Besar Legoland Malaysia, Siegfried Boerst.
Dia yang membeli tiket tahunan Legoland untuk seisi keluarga berkata, mereka sudah tentu akan kembali semula ke sini kerana masa sehari tidak cukup untuk merasai semua permainan dan keseronokan yang disediakan.
Bagi seorang kakitangan hotel, Nurshafika Paul Zainalabidin, 19, dari Bukit Indah pula, dia sanggup datang bersama keluarga walaupun baru selesai bertugas syif malam semata-mata untuk tidak melepaskan peluang berseronok bersama keluarga.
Dia juga bangga dengan kewujudan taman tema itu yang menempatkan Johor di persada antarabangsa.
Peguam, Norashikin Amirruddin, 27, dari Puchong, Selangor pula sanggup bertolak selepas Subuh bersama seorang rakannya untuk bercuti di Johor terutama untuk mengunjungi Legoland Malaysia sebagai lokasi pertama.
"Ada satu atau dua permainan yang tidak dapat saya cuba kerana masalah teknikal dan akan datang semula esok untuk menghabiskan kesemuanya. Sebelum pulang saya dan rakan juga akan singgah ke Johor Premium Outlet untuk membeli-belah," katanya.
Siew See, 32, yang datang bersama suami dan anak juga tidak berdepan masalah untuk datang ke Legoland Malaysia dengan perjalanan dari rumahnya di Jurong, Singapura yang hanya mengambil masa kira-kira 20 minit tanpa perlu beratur panjang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan