Jumaat, 14 September 2012

Ramai Gugur Musim Depan – MB


Bagi menyegarkan skuad Terengganu yang kian longlai, ramai pemainnya dijangka digugurkan dalam persiapan menghadapi kempen Liga Malaysia musim depan.
Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said berkata, langkah itu perlu dilakukan agar ia dapat bangkit semula selepas diselubungi pelbagai kontroversi kebelakangan ini.
Jelasnya, beliau sendiri akan turut ‘campur tangan’ dalam menentukan pemilihan skuad Penyu untuk musim depan.
“Saya tak terlibat dalam pengurusan tapi saya akan campur tangan dalam pemilihan pemain musim depan.
“Saya akan beri saranan untuk tentukan siapa pemain yang benar-benar layak atau sebaliknya untuk pasukan ini musim depan. Kita akan tentukan pemain yang berkebolehan dan ada kualiti,” katanya pada majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri TNB di Kuala Terengganu semalam.
Kata Dato’ Seri Ahmad, beliau akan mengadakan perbincangan dengan pengurusan Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) dalam waktu terdekat ini mengenai rombakan besar-besaran itu.
Tegasnya, beliau tidak mahu pasukan Terengganu disertai pemain yang tiada integriti serta tidak berdisiplin sehingga menjejaskan reputasi pasukan dan negeri.
“Kita labur RM6 juta setahun untuk pasukan Terengganu dan T-Team. Sebab itu kalau ada tak berdisiplin, kita gugurkan saja.
“Kita juga tak mahu ada pemain yang tiada integriti, kita bayar gaji tinggi tapi mereka tuju jalan mati,” tegasnya.
Mengenai pasukan T-Team, beliau berkata, nasib dan masa depan pasukan berstatus kelab itu sama ada akan dibubar atau sebaliknya akan diketahui sesudah selesai kempen Piala Malaysia ketika ini.
Dato’ Seri Ahmad mengesahkan beliau sendiri akan membuat keputusan sama ada T-Team dikekalkan atau dibubarkan kerana tidak mendatangkan keuntungan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...