Rabu, 26 September 2012

Penyokong Terengganu dinasihat tidak adakan demo ABC


KUALA TERENGGANU 26 Sept. - Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said menasihatkan peminat bola sepak Terengganu supaya tidak mengadakan demonstrasi yang dijadual di perkarangan Dataran Batu Burok di sini, Sabtu ini.

Penyokong setia Sang Penyu bercadang mengadakan demonstrasi yang dinamakan "Demonstrasi ABC (Asal Bukan Che Mat) bagi mendesak pengunduran Yang Dipertua Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) Datuk Che Mat Jusoh.

"Dalam sukan bola sepak, kalah menang itu adalah perkara biasa. Kadang-kadang ia juga bergantung kepada nasib.

"Tetapi bagi penonton apabila pasukan kalah, mereka ini pasti akan menyalahkan pihak pengurusan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Difahamkan bantahan bertemakan "Demonstrasi Kebangkitan Bola Sepak Terengganu" itu merupakan inisiatif daripada penyokong setia dan bukannya anjuran mana-mana pihak mahupun persatuan.

Selain itu, penyokong juga bercadang untuk menyerahkan satu memorandum yang ditandatangani beramai-ramai oleh penyokong kepada Ahmad sendiri.

Penyokong pasukan negeri itu bertindak demikian ekoran kegagalan pasukan Terengganu dan kelab T-Team layak ke peringkat suku akhir Piala Malaysia musim ini. - BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...