Isnin, 10 September 2012

SPRM Mungkin Panggil Beberapa Lagi Pemain Skuad Penyu


Siapa kata Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhenti daripada menyiasat Skuad Penyu dalam usahanya mencari bukti wujudnya dakwaan menjual perlawanan?

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mungkin memanggil beberapa lagi pemain bola sepak Terengganu bagi membantu siasatan berhubung dakwaan menjual perlawanan.

Pengarah SPRM Terengganu Md Yusoff Md Zain berkata setakat ini, seramai lapan individu membabitkan pemain skuad Penyu dan pihak pengurusan dipanggil memberi keterangan.

"Kesemua mereka yang telah dipanggil itu juga berkemungkinan dipanggil semula, sekiranya perlu, bagi membantu siasatan dan siasatan sentiasa berjalan, dan masih diteruskan, " katanya.

Lapan individu telah diambil keterangan termasuk Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Datuk Che Mat Jusoh dan penjaga gol utamanya, Mohd. Sharbinee Allawee Ramli.

Selain itu, jurulatih pasukan, Peter Butler turut memberi keterangan berhubung isu berkenaan yang membabitkan perlawanan Piala Malaysia antara Terengganu dengan Kedah di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, 1 September lalu.

"Buat masa sekarang, saya tak boleh beri ulasan lanjut mengenai perkara ini kerana ia masih dalam proses siasatan. Kita jalankan siasatan bukan untuk cari salah tapi untuk cari kebenaran," katanya kepada pemberita pada Rumah Terbuka Aidilfitri Jabatan Imigresen di Wisma Persekutuan di Kuala Terengganu, semalam.

Katanya, bagaimanapun sekiranya perlu, SPRM akan panggil semula mereka dan beberapa pemain lain untuk membantu siasatan.
  
Jelasnya, kertas siasatan masih dibuka tetapi belum ada sebarang perkembangan mengenainya namun proses siasatan tetap diteruskan.

Kem Terengganu mula diselubungi isu berkenaan apabila dua pemain tonggak, Muslim Ahmad dan Ismail Faruqi dikatakan mempunyai masalah disiplin dan disingkir Butler daripada pasukan itu.

Belum reda dengan isu itu, sekali lagi kem Terengganu goyah dengan dakwaan menjual perlawanan akibat tindakan Sharbinee yang dikatakan melepaskan gol mudah dan menyaksikan pasukan itu sekadar seri 1-1 dengan Kedah.

Kes kemudiannya disiasat SPRM dan PBSNT menubuhkan pasukan siasatan khas bagi menyelesaikan masalah itu sebelum musim baru bermula selepas pasukan itu terlepas peluang untuk mara ke pusingan seterusnya dalam saingan Piala Malaysia musim ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...