KUALA LUMPUR - Legenda beregu Korea Selatan, Park Joo Bong hampir pasti kembali ke pangkuan Malaysia lagi kali ini sebagai pengarah kejurulatihan baharu Persatuan Badminton Malaysia (BAM) seawal Januari tahun depan.
BAM sebelum ini mahukan seorang pengurus projek yang berperanan untuk menjayakan misi jangka panjang Olimpik 2016, 2020 dan 2024 tetapi nampaknya pada akhirnya ialah seorang pengarah kejurulatihan yang setaraf pengarah prestasi tinggi.
Meskipun enggan mendedahkan identiti calon berkenaan, namun ciri-ciri yang dinyatakan Nadzmi sendiri jelas menggambarkan kelibat bekas juara Olimpik itu.
Nadzmi memberitahu, individu misteri tersebut adalah satu-satunya calon yang kini diburu pihaknya dan merupakan seorang warga asing yang kini melatih sebuah negara lain.
Ditanya apakah calon itu ialah Joo Bong, jelas Nadzmi: "Kami hanya akan mengumumkan apabila tiba masanya. Hari ini kami datang berbincang dengan Datuk Zolkples kerana lazimnya, kos upah untuk jawatan penting ini memerlukan bantuan pembiayaan daripada MSN juga, jadi perlukan persetujuan bersama.
"Namun, dia adalah calon tunggal luar yang kita risik dan sebagai maklum balas, dia turut menyatakan minat untuk berkhidmat di Malaysia. Yang saya boleh dedahkan ialah dia berkelayakan tinggi berdasarkan latar belakang teknikalnya bagus di samping berpengalaman luas.
"Kami masih berunding syarat-syarat dengannya, jika persetujuan dicapai kami berharap dia dapat bersama kami seawal Januari depan dan kalau kalau ada keperluan, membayar untuk menebus kontrak sedia adanya bersama negara yang dia sedang terikat.
"Kontrak yang akan ditawarkan kepadanya kemungkinan dua atau tiga tahun dengan pilihan untuk memperbaharuinya tambahan tiga tahun mengikut kitaran Olimpik."
Mengenai mengapa jawatan tidak ditawarkan kepada calon tempatan, tambah Nadzmi: "Sudah tentu seelok-eloknya kami mahukan seorang calon tempatan, namun keutamaan adalah kepada mereka yang benar berkelayakan dan dirasakan sesuai. Kalau warga luar layak, maka kita akan lantik warga luar."
Sejak menyertai Persatuan Badminton Nippon (Jepun) pada 2005, Joo Bong dilihat sebagai orang yang berperanan membawa badminton Jepun kepada satu tahap yang lebih tinggi sehingga menjadi kuasa baharu dunia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan