Isnin, 30 Jun 2014

Maidam Lupus 1,800kg Abu Al-Quran Di Perairan Terengganu

Gambar hiasan
KUALA TERENGGANU, (Bernama) -- Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) melupuskan kira-kira 1,800 kilogram abu al-Quran dan bahan-bahan bercetak yang mengandungi teks ayat-ayat suci itu di Laut China Selatan hari ini.

Acara pelupusan dilakukan dengan kerjasama Jabatan Laut Malaysia Wilayah Timur pada pukul 11 pagi dan berakhir sejam kemudian di perairan Kuala Terengganu yang terletak kira-kira 12 batu nautika dari Jeti Shahbandar di sini.

Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Islam Terengganu, Datuk Mohd Rozali Salleh berkata pelupusan itu adalah kali ketiga dilakukan dan merupakan pendekatan terbaik sebagaimana yang dipersetujui oleh Majlis Fatwa Negeri dan Kebangsaan untuk menjaga kesucian al-Quran yang dilupuskan.


"Sepanjang tiga tahun pelupusan abu al-Quran dilakukan, tahun ini merupakan yang terbanyak di mana kita telah mengumpul lebih 10 tan naskah ayat suci untuk dilupuskan menjadi abu al-Quran seberat 1,500kg manakala tambahan 300kg lagi abu adalah daripada Percetakan Yayasan Islam Terengganu.

"Kita berjaya mengumpul suatu jumlah naskah ayat suci yang rosak dengan banyak kali ini berikutan berlaku banjir besar dan telah menenggelamkan masjid, surau dan rumah persendirian di beberapa daerah di negeri ini pada tahun lepas," katanya selepas mengetuai rombongan pelupusan yang turut disertai media.

Turut hadir, Eksekutif Kawalan Mutu Percetakan Yayasan Islam Saari Ali.

Katanya pelupusan itu dikendalikan bahagian penyelidikan Maidam iaitu agensi kerajaan negeri yang pertama di negara ini membina relau khas untuk pelupusan al-Quran yang dicipta oleh petugas bahagian penyelidikan Maidam pada 2011.

Proses bermula dengan pengumpulan al-Quran yang telah rosak dan salah cetak sehinggalah kepada proses membakar serta membuangnya ke laut.

Setakat ini, jumlah keseluruhan sepanjang tiga tahun bagi Maidam melupuskan abu al-Quran adalah 2,800kg abu di mana 200kg abu pada 2012 dan 800kg abu, tahun lepas.

Mohd Rozali berkata naskah al-Quran yang tersalah cetak, al-Quran lama, Surah Yassin, buku teks mengandungi ayat al-Quran dan kalimah Allah tidak boleh diabaikan cara pelupusannya.

Justeru, beliau menasihatkan umat Islam di negara ini agar menggunakan perkhidmatan pusat pelupusan al-Quran yang diiktiraf pihak berkuasa bagi melupuskan kitab suci itu selain memastikan proses pelupusan dilaksana mengikut syariat Islam.

Selain dilupuskan melalui pembakaran sebelum abunya dibuang ke laut, kaedah Islam lain iaitu cara membakar dan menanamnya boleh digunakan namun tidak digalakkan kerana dikhuatiri akan dipijak orang yang lalu-lalang.

-- BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...