Sabtu, 5 Julai 2014

Pulih keyakinan kakitangan awam


KUALA TERENGGANU – Peranan Agensi Pembangunan Masyarakat Terengganu (APMT) akan dipertingkatkan dalam usaha memulihkan kembali keyakinan kakitangan awam terhadap kerajaan menjelang PRU14.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Razif Abd Rahman ketika mengulas mengenai isu kakitangan awam yang dikatakan cenderung kepada pembangkang pada PRU13 lalu berkata, APMT akan dipertanggungjawabkan secara lebih proaktif memberi penerangan mengenai tugas-tugas kerajaan.

Ahmad Razif berkata, langkah itu dilihat sebagai satu penambahbaikan dalam transformasi yang pernah dinyatakan beliau sebelum ini.

“Saya sudah buat pelantikan pegawai yang boleh main peranan terutama APMT, kita akan jadikannya satu entiti yang ditugaskan untuk memberi penerangan tentang dasar kerajaan.

“Jadi integriti APMT kita akan ‘upgrade’ untuk beri penerangan tentang tugas kerajaan, agenda satu yang dibawa kerajaan dan yang bagus untuk kerajaan. Jadi rakyat memikirkan dari segi perkhidmatan kita. Perkhidmatan yang terbaiklah,” katanya kepada pemberita, di sini.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri Majlis Berbuka Puasa Bersama Jawatankuasa Umno Bahagian Negeri Terengganu, di Kediaman Seri Iman, di sini.

Dalam perkembangan sama, Ahmad Razif berkata, pembangkang sering kali menimbulkan persepsi negatif kepada masyarakat terhadap tindakan dan pelaksanaan yang dilakukan kerajaan.

Menurutnya, persepsi yang diwujudkan itu meninggalkan impak cukup besar sehingga berlaku perubahan dalam PRU13 lalu.

“Persepsi itulah yang menyebabkan jadi berubah dari segi senario hari ini. Kadang-kadang perkara yang baik apabila dibuat persepsi buruk, jadilah buruk dan ini berlaku kerana kurangnya penjelasan,” katanya.

Terdahulu dalam ucapannya, beliau turut meminta Umno Terengganu berpadu dengan sebaik-baiknya, merapatkan semula jentera parti bagi menghadapi cabaran getir pada PRU akan datang.

Katanya, ahli Umno memerlukan satu sama lain bagi memastikan kekuatan parti terus utuh.

“Apa yang berlalu kita jadikan sempadan dan panduan. Kita akan menghadapi PRU14, kebetulan saya pula menteri besar ke-14 dan saya berharap pada PRU14, kita dapat keputusan luar biasa yang memihak kepada kita,” katanya.


Sumber: sinarharianonline

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...