Khamis, 20 November 2014

Mangsa banjir Terengganu meningkat


KUALA TERENGGANU - Jumlah mangsa yang dipindahkan akibat banjir di Terengganu tengah hari ini, meningkat kepada 2,353 orang berbanding 2,312 orang pada sebelah pagi.

Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Terengganu dalam kenyataan hari ini, berkata setakat ini lima daerah terjejas akibat banjir iaitu Kuala Terengganu, Hulu Terengganu, Setiu, Besut dan Marang.

Kuala Terengganu mencatat jumlah tertinggi mangsa sebanyak 1,594 orang daripada 412 keluarga dan kini ditempatkan di 11 pusat pemindahan membabitkan sekolah dan pusat sivik.


Di Hulu Terengganu, 47 orang daripada 17 keluarga ditempatkan di Balai Raya Bukit Kolam, Bangunan Umno Kampung Kemat dan Surau Cenerong Lebam.

Di Setiu, 32 orang daripada sembilan keluarga dipindahkan ke tiga pusat pemindahan di Balai Raya Kampung Sunrai Lerek, Surau Kampung Sungai Pinang dan Balai Raya Rhu Tapai.

Di Marang, sebanyak 677 mangsa daripada 163 keluarga ditempatkan di Sekolah Kebangsaan Rhusila dan Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Payong.

Satu pusat pemindahan baharu turut dibuka di Besut di Kampung Beris Pak Abu yang menempatkan tiga keluarga.

Tinjauan Bernama di Sekolah Kebangsaan (SK) Kompleks Gong Badak dekat sini, mendapati proses pemindahan mangsa banjir berjalan lancar setakat ini.

Kebanyakan mangsa yang ditemui berpuas hati dengan perkhidmatan disediakan daripada pelbagai agensi kerajaan terlibat dalam operasi sepanjang bencana itu.

Muhammad Nazeri Nawi, 41, berkata, keadaan di SK Kompleks Gong Badak adalah memuaskan dengan kesemua penduduk yang terjejas banjir menerima barangan keperluan dan makanan yang mencukupi.


"Saya pindah ke sini bersama-sama isteri dan tiga anak. Setakat ini semuanya berada dalam keadaan baik dan saya ucapkan terima kasih atas perkhidmatan dan layanan memuaskan daripada pelbagai agensi kerajaan," katanya. - Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...