Khamis, 4 Disember 2014

Penduduk Indonesia pilih Malaysia

KALIMANTAN, 3 Disember: Ramai rakyat Indonesia, terutamanya yang tinggal di kampung-kampung di Kalimantan Utara, berdekatan sempadan Sabah mempunyai dua kad pengenalan.
Yang pertama, kad tanda penduduk Indonesia dan kedua ialah kad pengenalan Malaysia.
Tambilakan, 61, seorang penduduk di Kampung Labang, Lumbis Ogong di daerah Nunukan, Kalimantan Utara berkata, kedua-dua kad penduduk dan pengenalan itu sangat penting baginya.
Tambilakan sudah biasa hidup di dua negara, memandangkan Kampung Labang terletak bersebelahan sempadan Sabah.

Dalam tempoh sebulan, Tambilakan akan berada di Lumbis Ogong selama dua minggu, manakala selebihnya di Malaysia.
Tidak sukar untuk mendapatkan kad pengenalan Malaysia, cukup dengan ada orang yang boleh menjamin dan bayaran RM500,” katanya.
Bagi Tambilakan, dia tidak menghadapi masalah mencari penjamin, kerana anaknya sudah lama tinggal di Malaysia, lapor mediaindonesia.com.
Dia turut mengakui, sejak mendapat kad pengenalan Malaysia, kehidupannya lebih baik, kerana boleh mendapat subsidi untuk membeli ‘sembako’, selain jaminan kesihatan juga lebih baik.
Sembako’ adalah sembilan keperluan utama yang diberi subsidi oleh kerajaan Malaysia, iaitu beras, sagu dan jagung, gula pasir, sayur-sayuran dan buah-buahan, daging dan ayam, minyak masak dan marjerin, susu, telur, minyak tanah dan garam.
Tambahnya, perjalanan ke Keningau, Sabah lebih cepat dan murah berbanding mendapatkan perkhidmatan kesihatan di Mansalong.
Tambilakan mengakui bergantung hidup dengan menjual hasil hutan di Malaysia untuk menampung kehidupan sekeluarganya, setiap dua minggu sekali.
Sementara itu, seorang penduduk Kampung Sumantipal, Malunggor, 45, berkata disebabkan banyak kemudahan di Malaysia, ramai penduduk membuat keputusan untuk menjadi rakyat Malaysia.
“Di Malaysia lebih baik daripada di Indonesia yang semuanya mahal,” katanya.
Menurutnya, disebabkan kurang mendapat perhatian daripada pemerintah Indonesia, kadar kemiskinan di Nunukan semakin tinggi dan penduduk beralih menjadi rakyat Malaysia, kerana proses mendapat kad pengenalan negara ini adalah mudah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...