Khamis, 31 Mac 2011

Hampir 1,000 Kanak-kanak Asia Lemas Setiap Hari

KUALA LUMPUR: Kajian yang dijalankan The Alliance for Safe Children (TASC) dan United Nations Children's Fund (Unicef) mendapati lebih 350,000 kanak-kanak dianggarkan mati lemas di Asia setiap tahun.
Angka ini diterjemahkan kepada hampir 1,000 kanak-kanak mati lemas dalam sehari. Kejadian lemas dikenalpasti sebagai punca utama kematian kanak-kanak berumur satu hingga empat tahun di banyak negara Asia.
Menurut laporan Badan Kesihatan Dunia (WHO) dan Unicef, kes lemas yang tidak membawa kepada kematian memberikan impak terhadap ekonomi serta kesihatan disebabkan kerosakan otak yang berlaku bagi mangsa yang selamat daripada lemas.

Menurut laporan itu, kempen kesedaran yang dijalankan tidak efektif bagi mengurangkan kadar kematian daripada insiden lemas.
"Insiden lemas di Malaysia menunjukkan kes lemas terjadi secara tidak menentu dan perhatian yang lebih diperlukan terhadap isu ini," kata Naib Presiden Persatuan Menyelamat Nyawa Malaysia (LSSM) Chan Kwai Fong kepada Bernama.
Katanya LSSM sedang berusaha kearah mengurangkan insiden mati lemas di negara ini.PROGRAM 'RENANG SECARA SELAMAT'
Menurut Chan LSSM sedang merancang sambil mencari sumber dana bagi melancarkan satu program 'Renang Secara Selamat' di seluruh negara di mana kanak-kanak di sekolah rendah diajar berenang secara selamat.
Tetapi sebelum program ini dilancar, pengajar renang serta kolan renang perlulah disediakan bagi kanak-kanak ini, kata beliau.
Chan berharap delegasi Malaysia yang akan hadir pada Persidangan Dunia Cegah Lemas di Danang, Vietnam pada Mei ini akan pulang dengan beberapa idea bagi pelancaran program itu.
LSSM akan menghantar tujuh wakil ke persidangan berkenaan.
PERSIDANGAN DUNIA
Persidangan Dunia Cegah Lemas diadakan setiap empat tahun sekali oleh Persekutuan Menyelamat Nyawa Antarabangsa (ILSF). Hos bagi edisi tahun ini ialah Persatuan Menyelamat Nyawa Diraja (RLSS) - Australia dengan kerjasama TASC.
Persidangan itu akan dihadiri 400 pakar dari seluruh dunia yang juga akan membentangkan serta membincangkan kajian dan pemikiran terkini tentang intervensi terhadap kejadian anak-anak lemas, tindak balas kecemasan, selamat nyawa, latihan renang seta juga musibah dan perubahan iklim.
RLLS-Australia menjadikan Danang di Vietnam sebagai lokasi persidangan kerana negara itu mempunyai insiden mati lemas antara tertinggi di Asia yang diharapkan dapat menarik perhatian dunia kepada isu ini.
KEM KESELAMATAN AIR
"LSSM berharap perwakilannya akan mendapat banyak pengetahuan di persidangan itu yang boleh digunakan bagi memberi maklumat kepada masyarakat Malaysia tentang pentingnya langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan kejadian lemas," kata Chan.
Selain Chan, anggota perwakilan Malaysia ke persidangan itu ialah Timbalan Presiden LSSM Dr Zaid Chelvaraj, Geh Thuan Tek, Lim Kok Wey, Ooi Win Juat, Lee Soon Keong dan Chan Ngee Mun. Delegasi itu akan diketuai oleh Dr Zaid.
Kata Chan, LSSM sedang berusaha secara proaktif mengedalikan kem keselamatan air bagi sekolah, kelab, kumpulan pertahanan awam serta juga pihak yang berminat.
Kursus asas ini akan memperkenalkan peserta tentang pentingnya pengetahuan keselamatan air selain memberi latihan praktikal tentang pelbagai kaedah menyelamat seseorang di daratan tanpa perlu masuk kedalam air seperti memakai jaket keselamatan secara betul dan juga menjalankan resusitasi kardio-pulmonari (CPR) dan lain-lain.
Apabila tamat kursus, peserta akan dilengkapi pengetahuan yang cukup bagi kaedah meyelamat di darat selain memberikan CPR.
"Kem keselamatan air ini sangat popular terutama untuk komuniti yang mempunyai kolam renang.
"Dalam kebanyakan kes, kolam-kolam renang ini tidak mempunyai penyelamat bertugas secara tetap jadi komuniti bergantung kepada pembantu rumah, ibu bapa dan juga anak-anak yang dewasa yang mempunyai pengetahuan tentang menyelamat dalam kes-kes kecemasan melibatkan kolam renang," kata Chan.
KURSUS KHAS
LSSM juga terlibat dalam penganjuran kursus latihan bagi memberi pengetahuan serta kecekapan pada masyarakat yang diperlukan untuk menjalankan CPR dan juga kes 'tercekik'.
Kursus khas juga dijalankan untuk para ibu dan penjaga bayi tentang apa yang perlu dibuat bila bayi berhenti bernafas atau tercekik.
Semasa kursus ini juga, peserta akan diajar tentang apa yang perlu dibuat untuk mengelakkan daripada berlakunya kes lemas.
Program Menyelamat Nyawa LSSM adalah sesuai bagi keperluan murid sekolah rendah dan juga orang dewasa. Kurikulumnya memastikan mereka yang menjadi peserta kursus itu mempunyai pengetahuan cukup dalam kemungkinan kecemasan berlaku.
Kursus profesional bagi juruselamat nyawa juga diadakan bagi mereka yang bekerja sebagai juruselamat di kolam awam, hotel dan juga taman rekreasi.
"Di Sabah dan Sarawak, jurulatih dan pengajar kami mengadakan kursus menyelamat bagi renjer Perhilitan," kata Chan.
LSSM juga menganjurkan pertandingan menyelamat nyawa di beberapa tempat/lokasi di seluruh negara bagi memberi ruang para juruselamat meningkatkan kebolehan mereka dalam suasana kompetitif. - BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...