Sabtu, 2 April 2011

Isu Letak Jawatan Selesai, Misbun Mahu Kembali Kepada BAM

PETALING JAYA, 1 April (Bernama) -- Isu perletakan jawatan jurulatih badminton Datuk Misbun Sidek berakhir Jumaat apabila beliau menarik balik surat perletakan jawatannya bertarikh 31 Disember lepas dan bersetuju untuk berkhidmat semula dengan Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Presiden BAM Datuk Seri Nadzmi Mohd Salleh berkata perkara itu dimaklumkan Misbun menerusi surat yang dihantar ke rumahnya tiga atau empat hari lepas.

Beliau berkata BAM akan menawarkan kontrak baru kepada Misbun dengan terma-terma tertentu, dan menurutnya pada dasarnya semua perkara itu sudah pun dibincang dengan Misbun.

"Dalam kontrak itu nanti BAM akan putuskan sama ada Misbun akan melatih Chong Wei semula dan sebagainya," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis BAM di sebuah hotel di sini.
Misbun, yang melatih jaguh badminton negara Datuk Lee Chong Wei, baru-baru ini mengejutkan dunia sukan tanahair apabila secara tiba-tiba meletak jawatan, dengan menghantar emel ke pejabat BAM pada 31 Disember lepas.

Tindakan Misbun yang dikhuatiri menjejaskan peluang negara untuk meraih emas pertama Malaysia di Sukan Olimpik London tahun depan, sekaligus menarik perhatian Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Ahmad Shabery kemudiannya menjadi sebagai orang tengah antara Misbun dan Nadzmi yang mewakili BAM, apabila beliau berjumpa kedua-dua pihak secara berasingan pada 6 Januari lepas; Nadzmi semasa waktu makan tengahari dan Misbun pada makan malam.

Enam hari selepas itu (12 Januari) BAM dalam satu mesyuarat mengambil keputusan untuk meminta Misbun menimbangkan semula keputusan beliau dan bersedia untuk menawarkan kontrak baru kepada jurulatih itu.

Isu perletakan jawatan Misbun berlarutan sehingga ke hari ini tanpa sebarang penjelasan daripada beliau, meskipun pelbagai spekulasi dibuat pihak media berhubung punca tindakannya.

Prestasi Chong Wei bagaimanapun kelihatan tidak terjejas tanpa kehadiran Misbun apabila perseorangan nombor satu dunia itu berjaya mengekalkan kejuaraan Kejohanan All England buat kali kedua dengan menewaskan pemain China Lin Dan pada 14 Mac lepas.

Menurut Nadzmi, sebelum penyelesaian dicapai hari ini, beliau mengadakan dua pertemuan dengan Misbun dan beberapa kali berbincang dengannya menerusi telefon.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...